Malaysia hargai hubungan dengan AS – Ismail Sabri

0
4

MALAYSIA menghargai hubungan dua hala dengan Amerika Syarikat (AS) yang terjalin sejak 60 tahun lalu dan akan terus bekerjasama dalam pelbagai aspek, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail sabri Yaakob.

Beliau menyatakan perkara itu kepada Speaker Dewan Perwakilan AS, Nancy Pelosi pada majlis jamuan tengah hari sempena meraikan Pelosi yang dalam rangka lawatan rasmi ke Malaysia, hari ini.

Pelosi dan delegasi kongresnya kini dalam rangka lawatan rasmi ke empat negara Asia.

“Malaysia dan AS telah menjalinkan hubungan dua hala sejak 60 tahun lalu, selain menjadi rakan kongsi penting dalam semua bidang.

“Sebagai contoh, dalam bidang ekonomi, Amerika Syarikat merupakan rakan dagang dan pelabur utama Malaysia.

“Pada tahun ini, nilai dagangan Malaysia-Amerika Syarikat berjumlah RM216.97 bilion, manakala nilai pelaburan terkumpul berjumlah RM117.44 bilion,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Menurutnya, dalam kerjasama pertahanan, Malaysia menghargai bantuan yang diterima dari AS melebihi AS$200 juta sehingga tahun ini.

“Begitu juga semasa negara berdepan dengan pandemik Covid-19, AS banyak membantu, termasuk bantuan percuma vaksin Pfizer sebanyak 1 juta dos,” katanya.

Ismail Sabri berkata, semasa majlis makan tengah hari berkenaan, beliau telah menyatakan komitmen berterusan Malaysia dalam menangani isu pemerdagangan orang dan penyeludupan migran di Malaysia.

“Saya telah meminta AS supaya menilai semula penarafan Tier 3 kepada Malaysia dalam Laporan Pemerdagangan Manusia (Trafficking In Person) yang dikeluarkan oleh negara itu.

“Mengenai situasi di Myanmar, saya menggesa AS supaya memainkan peranan yang lebih penting untuk mencapai penyelesaian terbaik terhadap krisis itu termasuk membantu penyelesaian isu Rohingya,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here