PKP Bersyarat di 3 daerah di Sabah

0
2
polis_pkp_kota_setar

KERAJAAN hari ini setuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan di Sabah berkuatkuasa jam 12.01 tengah malam 7 Oktober ini.

Sehubungan itu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pergerakan keluar masuk di ketiga-tiga kawasan tidak dibenarkan.

Katanya, hanya Perkhidmatan Perlu (Essential Service) termasuk kilang dan rantaian berkaitan dalam perkhidmatan perlu dibenarkan dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia (MITI) akan menyenaraikan jenis perkhidmatan itu.

“Pelaksanaan PKPB ini bagi membendung jangkitan dan penularan Covid-19 dalam kawasan tersebut serta membolehkan aktiviti pengesanan kes secara bersasar dilaksanakan,” katanya.

Antara SOP ditetapkan:

• Kemasukan ke Sabah tidak dibenarkan KECUALI bagi warganegara yang berasal dari Sabah, Pemegang Pas-Pas yang dikeluarkan Jabatan Imigresen Negeri Sabah yang berada di Semenanjung, Sarawak, Labuan, dan pasangan yang menjalankan Perkhidmatan Perlu (Essential Services). Selain kategori ini, mereka diwajibkan mendapatkan kebenaran khas daripada Kerajaan Sabah.

• Hanya 2 orang sahaja dari sebuah rumah dibenarkan untuk keluar bagi tujuan mendapatkan bekalan makanan/keperluan rumah.

• Perniagaan Bukan Perkhidmatan Perlu (Non Essential Service) hendaklah ditutup.

• Restoran, kedai makan dan kedai runcit dan kedai serbaneka dibenarkan beroperasi antara 6 pagi hingga 6 petang.

• Pembelian makanan hanya menggunakan kaedah pandu lalu, penghantaran (delivery) dan take-away sahaja.

• Waktu operasi stesen minyak antara 6 pagi hingga 6 petang sahaja.

• Operasi pasar harian adalah antara hingga 6 pagi hingga 2 petang sahaja.

• Operasi pasar malam, tamu, pasar borong, dan pasar tani tidak dibenarkan.

• Waktu operasi klinik dan hospital kerajaan dan swasta dibenarkan secara 24 jam.

• Farmasi dan kedai menjual ubat-ubatan beroperasi mulai 6.00 pagi hingga 6.00 petang sahaja.

• Aktiviti dan perkhidmatan di semua lapangan terbang dan pelabuhan dibenarkan beroperasi. Pergerakan petugas/ penumpang perlu mendapatkan kelulusan PDRM.

• Kenderaan yang membawa barangan keperluan (essential) dibenarkan keluar masuk dengan mendapatkan kebenaran PDRM terlebih dahulu.

• Perkhidmatan teksi/e-hailing (maksimum 2 penumpang) dan penghantaran makanan dibenarkan beroperasi dari jam 6 pagi hingga 8 malam sahaja.

• Perkhidmatan bas ekspres dan bas henti-henti tidak dibenarkan beroperasi.

• Bagi kes kecemasan adalah dibenarkan tetapi perlu mengemukakan permohonan pergerakan kepada pihak berkuasa.

• Penduduk yang bekerja tidak dibenarkan keluar dari kawasan dan tidak boleh bekerja sepanjang tempoh PKPB.

• Majikan hendaklah mematuhi perintah ini dan membenarkan pekerja bercuti atau bekerja dari rumah.

• Kebenaran untuk bekerja hanya bagi Perkhidmatan Perlu (essential service) dengan kelulusan PDRM.

• Masjid, Surau, rumah ibadat bukan islam, Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta, Institut Latihan Kemahiran, Sekolah, Tadika, Taska, Pusat Tahfiz, Pusat Jagaan Kanak-Kanak.

• Semua Aktiviti Sukan, Rekreasi, sosial, dan budaya adalah tidak dibenarkan.

• PDRM bertanggungjawab melaksanakan kawalan ke atas kawasan tempatan jangkitan dengan bantuan ATM, APM & RELA.

Ismail Sabri berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada Bilik Gerakan Bencana Negeri Sabah di talian 088-369434

“Kerajaan akan terus berbincang dengan Kerajaan Sabah untuk memantau situasi di seluruh daerah dan akan mendapatkan nasihat KKM dari semasa ke semasa sebelum mengambil sebarang tindakan,” katanya. – Malaysiapost