KETUA Puteri Umno, Datuk Zahida Zarik Khan menyelar tindakan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang pernah mencerca parti itu termasuk melabelkannya sebagai ‘parti tunggang langgang’.
Zahida berkata, pelbagai kata hinaan pernah dilemparkan kepada Umno termasuk dilabel sebagai parti perompak dan pencuri serta digelar sebagai ‘itik patah kaki’.
“Dulu kata Umno tunggang langgang masuk longkang. Label perompak pencuri, ada pula yang gelar itik patah kaki, apa lagi yang mereka tak cerca dan hina?
“Terlajak perahu boleh undur, terlajak kata?,” katanya menerusi hantaran ringkas di Facebook.
Kenyataan Zahida itu susulan dakwaan Muhyiddin baru-baru ini, bahawa gabungan tiga parti Melayu terbesar iaitu Bersatu, PAS dan Umno mampu menang PRU15 dengan selesa jika penubuhan Muafakat Nasional (MN) menjadi realiti.
Bagaimanapun, Muhyiddin yang merupakan Presiden Bersatu berkata, penubuhan MN pada masa ini seolah-olah kabur kerana penolakan Umno meskipun jemputan menyertai gabungan berkenaan dibuat Ahmad Zahid dan dan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang. – Malaysiapost

