MALAYSIA perlu terus berubah dan berinovasi ke arah negara digital yang makmur dan berdaya tahan melalui pendigitalan, terima guna teknologi dan inovasi bagi mencapai pertumbuhan ekonomi mampan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata, bagi menyokong tujuan tersebut, Kerajaan telah meluluskan sebanyak 99 projek dan program penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi (R&D dan C&I) dengan kos berjumlah RM5.6 bilion bagi tempoh 2021 hingga 2022 di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
Menurutnya, dalam aspek pengkomersialan, sekurang-kurang 50 peratus jumlah perbelanjaan R&D perlu menjurus kepada penyelidikan pembangunan eksperimental, selain melahirkan lebih ramai pencipta teknologi serta usahawan teknologi tempatan bagi menjana kekayaan dan pertumbuhan ekonomi.
“Pada tahun 2025, peratusan perbelanjaan kasar R&D (atau GERD) kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dijangka mencapai 2.5 peratus, berbanding 1.04 peratus sahaja pada tahun 2018.
“Bagi tujuan ini, sumbangan sektor swasta disasarkan mencapai 70 peratus daripada jumlah perbelanjaan R&D dengan sumber pembiayaan alternatif termasuk modal teroka, pembiayaan antarabangsa dan dana endowmen juga dipertingkatkan,” katanya ketika berucap di Majlis Perasmian Persidangan Inovasi Malaysia 2022 di ibu negara, hari ini.
Ismail Sabri berkata, beliau percaya terdapat cabaran berkaitan inovasi yang perlu ditangani Keluarga Malaysia sebelum negara mampu mencapai status negara berpendapatan tinggi.
“Ini termasuklah pelaburan sektor awam dan swasta yang rendah dalam R&D dan C&I berbanding dengan negara-negara maju.
“Contohnya pada tahun 2018, GERD Korea Selatan ialah 4.52 peratus, Jepun 3.22 peratus berbanding 1.04 peratus bagi Malaysia,” katanya.
Menurutnya, landskap R&D dan C&I Malaysia juga berbeza dengan negara-negara maju kerana hampir 80 peratus penyelidik di negara ini pada 2018 berada di institusi pengajian tinggi manakala 97.4 peratus usahawan datangnya daripada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (atau PMKS).
Beliau berkata, selain itu daripada lebih kurang 5,435 syarikat pemula daripada tahun 2010 hingga 2020, hanya lima peratus syarikat pemula adalah berasaskan teknologi.
“Oleh itu, bagi pendekatan jangka pendek dan sederhana, kerjasama dalam kalangan pihak penyelidik dan usahawan perlu dilaksanakan untuk meningkatkan inovasi tempatan.
“Ini sejajar dengan Pelan Hala Tuju Ekosistem Syarikat Pemula Malaysia 2021-2030 atau SUPER yang menyasarkan 5,000 syarikat pemula dan lima syarikat bertaraf unicorn bernilai lebih USD1 bilion menjelang tahun 2025,” katanya.
Menurutnya, setakat ini Malaysia hanya mempunyai sebuah syarikat bertaraf unicorn iaitu CARSOME Sdn Bhd.
“Oleh itu, lebih banyak insentif perlu disediakan bagi mewujudkan lebih banyak syarikat pemula berasaskan teknologi termasuk merangka strategi ekosistem inovasi terbuka bagi merancakkan inovasi negara menerusi penggemblengan idea semua pihak,” katanya.
Beliau berkata, Kerajaan menerusi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Akademi Sains Malaysia sedang membangunkan Malaysian Open Science Platform untuk mempergiatkan perkongsian data antara penyelidik dan industri.
“Bidang keutamaan sains, teknologi dan inovasi negara juga sedang diselaraskan di bawah RMK-12 melalui Rangka Kerja 10-10 MySTIE dan pembiayaan R&D dan C&I yang bersepadu,” katanya. – Malaysiapost

