Bapa campak 3 anak sebelum bunuh diri di jejantas

0
2

DUA beradik maut, manakala seorang lagi kritikal selepas dicampak dari jejantas setinggi 20 meter oleh lelaki dipercayai bapa mereka di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dekat Kepong, Kuala Lumpur, pagi tadi.

Suspek yang berusia 38 tahun turut maut, selepas terjun dari jejantas berkenaan.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata kejadian kira-kira jam 5.50 pagi itu disedari seorang lelaki warga tempatan yang kebetulan berada di lokasi kejadian.

Menurutnya, tiga kanak-kanak terbabit terdiri perempuan berusia lapan tahun dan dua lelaki.

“Menurut saksi, sebelum kejadian lelaki Myanmar tersebut sedang berjalan sambil memimpin dua anaknya, manakala seorang lagi berada dalam dukungan.

“Ketika dia menghampiri mereka, lelaki tersebut tiba-tiba mencampakkan kesemua anaknya, sebelum dia turut terjun dari jejantas terbabit,” katanya memetik laporan portal Getaran.

Eng Lai berkata, kesemua mangsa ditemui di tepi jalan berhampiran lampu isyarat di Desa Jaya.

Katanya lagi, kanak-kanak yang kritikal itu dirawat di Hospital Selayang.

“Pemeriksaan oleh pegawai perubatan mendapati mangsa mengalami kecederaan dalaman di bahagian perut dan keretakan pada rusuk kiri,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Kesemua mayat telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Kuala Lumpur untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian,” katanya. – Malaysiapost

Kredit foto: IPD Sentul

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here