KEADAAN kesihatan Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin, kanak-kanak yang pernah menghidap kanser mulut Germ Cell Tumor semakin baik apabila dibenarkan minum susu, pagi ini.
Perkembangan terbaharu kanak-kanak itu dikongsi menerusi Instagram ibunya Nurul Erwani Zaidi.
“Pagi ini Ainul dah mula minum susu. Dua hari Ainul puasa tidak dapat minum susu.
“Mama yakin keadaan Ainul semakin baik,” tulis Nurul Erwani.
Berkongsi perkembangan anaknya, Nurul Erwani memberitahu Ainul Mardhiah masih memerlukan alat bantuan pernafasan.
“Ainul belum sedar lagi. Ubat tidur masih run (jalan) sebab Ainul tengah on ventilator (dipasang alat bantuan pernafasan).
“Ainul tak boleh sedar lagi sebab tak nak bagi Ainul penat bila tengah on ventilator,” katanya.
Semalam, menerusi hantaran di Instagram, Nurul Erwani Zaidi memaklumkan ujian darah dan x-ray yang dilakukan terhadap anaknya itu menunjukkan keputusan yang positif.
Sebelum ini, Ainul Mardhiah mendapat perhatian negara susulan tumor seberat 200 gram dalam mulutnya sebelum berjaya dikeluarkan melalui pembedahan di London, United Kingdom (UK) pada 2019, dilaporkan kritikal dan tenat. – Malaysiapost

