Kit Siang terus tekan kerajaan benarkan pesta arak ‘Oktoberfest’

0
2

Aiman Hanif

KETIKA rakyat terhimpit dengan kesempitan hidup pasca Covid-19, Veteran DAP, Lim Kit Siang terus berjuang untuk menjayakan pesta arak “Oktoberfest”.

Dalam satu catatan di Facebooknya, Lim menyelar tindakan kerajaan yang disifatkannya telah mencabuli prinsip Perlembagaan negara.

“Kerajaan (Datuk Seri) Ismail Sabri (Yaakob) telah mencabuli prinsip dan dasar yang dimaktubkan oleh tokoh penubuhan negara dalam Perlembagaan dan Rukun Negara dengan mendakwa yang kerajaan menentang Oktoberfest.

“Ini bukanlah dasar kerajaan untuk 65 tahun sebelum ini.

“Bapa Malaysia, Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri kedua, dan ketiga negara, Tun Razak (Hussein) dan Tun Hussein Onn, pastinya akan terkejut dengan pengkhianatan asas sebegini sekiranya mereka masih hidup hari ini.

“Bilakah Kabinet mengambil pendirian yang mengatakan kerajaan menentang penganjuran Oktoberfest ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad, memberitahu Parlimen menolak penganjuran acara minum arak secara terbuka kepada masyarakat awam.

“Meskipun golongan bukan Islam tidak dilarang untuk minum arak, kerajaan berpendirian bahawa perbuatan menjadikan minuman arak ini sebagai pesta dan dibuat secara terbuka kepada masyarakat awam tidak sepatutnya dibenarkan kerana akan menimbulkan masalah sosial memandangkan arak dilihat mampu menjejaskan keharmonian, ketenteraman dan keselamatan masyarakat,” kata Idris.

Dalam pada itu Lim menggesa Perdana Menteri menjelaskan kepada rakyat, bilakah Kabinetnya mengambil keputusan untuk menentang Oktoberfest secara rasmi.

“Adakah kerajaan Ismail Sabri sedar yang dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International (TI) 2021, Malaysia berada di tempat ke-62 dari sejumlah 180 negara yang ditinjau, kedudukan terendah Malaysia sejak penerbitan carta ini pada tahun 1995.

“Malah, Palestin, yang tidak termasuk dalam salah satu dari 180 negara yang ditinjau TI, membenarkan penganjuran Oktoberfest.

“Bolehkah Perdana Menteri, Ismail Sabri, menjelaskan mengapa kerajaannya lebih bimbang mengenai Oktoberfest berbanding dengan rasuah?,” katanya lagi.- Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here