Jangan tarik sekatan eksport ayam selagi tiada mekanisme stabilkan harga

0
2

KERAJAAN diingatkan supaya tidak tergesa-gesa memenuhi desakan kartel penternakan ayam yang menggesa sekatan eksport ayam ditarik balik.

Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata kerajaan perlu kekal dengan keputusan berkenaan selagi belum wujud mekanisme dan formula tepat untuk menstabilkan harga ayam.

“Kerajaan usah tergesa-gesa akur memenuhi desakan pihak Kartel penternakan ayam agar menarik balik sekatan eksport ayam.

“Yang jelas sekarang harga ayam telah turun ke paras tidak melebihi RM8.50 berbanding satu ketika mencecah melebihi RM10 sekilo,” katanya menerusi Facebook.

Beliau berkata, sebelum ini pelbagai manipulasi dilakukan kartel yang menguasai pasaran dengan mendakwa bekalan tidak mencukupi, sehingga kerajaan terpaksa melakukan langkah drastik melarang eksport ayam mulai 1 Jun lalu.

:Selagi belum wujud mekanisme jelas dan formula tepat untuk Kerajaan menstabilkan harga ayam yang tiba-tiba hari ini boleh pula harga turun dan bekalan berlebihan, jangan cepat menarik balik sekatan eksport ayam,” katanya.

Terdahulu, pihak penternak menggesa kerajaan menarik balik sekatan eksport ayam secara berperingkat susulan situasi lambakan ternakan yang berlaku ketika ini, sekali gus didakwa menjejaskan kumpulan itu.

Pengarah Urusan Bismi Empire Sdn Bhd, Mazlina Kamarudin, mencadangkan kerajaan membuka 50 peratus eksport ayam bagi menstabilkan bekalan ayam berlebihan yang sedang berlaku.

Katanya, tindakan larangan eksport itu dilihat memberi tekanan terhadap pemain industri kecil dan sederhana, memaksa mereka bersaing sesama sendiri. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here