Aiman Hanif
KEPUTUSAN Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk aktif bersama BN menjadi tamparan hebat buat Bersatu ketika beliau dilihat pro kepada parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Langkah BN menamakan Tengku Zafrul sebagai Bendahari BN Selangor dilihat sebagai keputusan tepat untuk memperkuatkan parti itu dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang akan diadakan bila-bila masa.
Meskipun ada suara-suara yang kurang senang dengan Tengku Zafrul untuk aktif bersama Umno, BN, namun secara tidak langsung ia menjadi penanda aras kepada kebangkitan Umno,BN.
Ia membuktikan kepimpinan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam mengemudi parti itu bersama kumpulannya diyakini Tengku Zafrul.
Tindakan kelompok tertentu terutamanya pihak pembangkang dan Bersatu memomokkan Umno sebagai parti rasuah khususnya berhubung isu 1MDB tidak menjadi “kudis gatal” kepada Tengku Zafrul.
Nampaknya Tengku Zafrul tidak melihat Umno, BN sebagai sebuah parti yang terpalit dengan rasuah mahupun penyelewengan, sebaliknya ia menjadi parti keramat untuk rakyat Malaysia.
Barangkali Tengku Zafrul mengambil iktibar kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin yang dilihat gagal membela nasib rakyat berbanding kerajaan BN sebelum ini.
Persoalannya, kenapa Tengku Zafrul tidak memilih PN ataupun Bersatu, dua tafsiran yang boleh kita buat iaitu, pertama Tengku Zafrul melihat BN dalam momentum yang baik dan diterima rakyat, kedua melihat Muhyiddin sebagai liabiliti serta tidak mampu menarik sokongan rakyat jika bersama PN.
Sudah tentu keberadaan Tengku Zafrul dalam saf kepimpinan BN Selangor akan menjadi nilai tambah yang mampu menguatkan parti itu untuk menghadapi PRU15 dalam misi merampas Selangor.
Malah, tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa Tengku Zafrul mampu menjadi ikon untuk BN Selangor untuk menarik kembali sokongan rakyat.- Malaysiapost
Kredit Foto: Facebook Hishammuddin Hussein

