UNIVERSITI Utara Malaysia (UUM) menutup kampusnya di Sintok selama empat hari bermula tengah malam tadi bagi mengekang penularan wabak Covid-19.
UUM menerusi surat pekeliling dikeluarkan Pendaftar universiti itu kepada kakitangan dan pelajar pada semalam, memaklumkan penutupan tersebut berkuat kuasa jam 12 tengah malam tadi hingga 8 Oktober ini.
Pekeliling itu memaklumkan kakitangan tidak dibenar memasuki kampus induk UUM kecuali dengan kebenaran pendaftar sepanjang tempoh itu.
Pelajar juga tidak dibenarkan memasuki kampus kecuali dengan kebenaran Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni.
Surat pekeliling berkenaan juga memaklumkan semua pelajar yang berada di dalam kampus tidak dibenarkan keluar.
Semua pelajar yang berada di inapan siswa (Inasis) Yayasan Al-Bukhary (YAB) dilarang sama sekali keluar dari kawasan tersebut.
Inasis itu akan dikawal secara 24 jam oleh pihak keselamatan universiti.
Terdahulu, media melaporkan UUM menutup kampus utamanya berkuat kuasa serta-merta susulan seorang pelajar yang baru pulang dari Sabah dikesan positif Covid-19.
Naib Canselor UUM, Prof Datuk Dr Ahmad Bashawir Abdul Ghani, berkata pelajar berkenaan sebelum ini terbabit dalam latihan Pegawai Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) dan tiba di kampus lebih awal.
Katanya, selepas jangkitan itu dikesan, pihak universiti mengambil langkah perlu mengawal penularan dengan melakukan penutupan serta-merta dan melarang aktiviti keluar masuk kampus. – Malaysiapost

