Terkesan perkongsian Sabri Yunus, Ebit Lew bergegas ke Kelantan hulur bantuan

0
2

PERKONGSIAN pelakon dan pengarah terkenal, Sabri Yunus di laman Facebook berkenaan dua orang anak menolak dan menarik beca yang dinaiki kedua orang tua mereka telah mendapat perhatian pendakwah bebas, Ebit Lew. 

Menerusi hantaran di laman Facebook, Ebit berkongsi perasaannya yang amat terkesan mengenangkan nasib keluarga itu lalu bergegas ke Kelantan untuk menemui mereka. 

Ebit bertemu dengan mereka dan bertanyakan latar belakang untuk mengetahui keadaan sebenar mereka sekeluarga.

Menurut Ebit, pakcik berkenaan memang tidak boleh berjalan dan isterinya mengalami kecederaan di kaki sejak sebulan yang lalu. 

Manakala, anak lelaki dan perempuan pasangan tersebut dikategorikan sebagai Orang Kurang Upaya (OKU) lembam.

“Doakan kami akan bina rumah untuk keluarga ini. Semalam tular gambar mereka terus rasa sebak. Ramai tag saya di fb.

“Pagi ni terus fly ke Kota Bharu. Cari pakcik dan makcik ni sekeluarga di Tumpat. Pakcik tak boleh berjalan langsung. Isterinya baru dilanggar cedera dan anak-anaknya ada yang oku lembam. 

“Kuat berjalan mengutip besi,kotak, tin untuk di jual. Abang baju merah tarik dan adik tudung purple tolak. Jauh betul mereka berjalan setiap pagi sampai petang. Berat melihat mereka. Allahuakbar,” katanya. 

Ebit juga menjelaskan, keluarga tersebut memiliki tanah sendiri namun tidak mampu membina kediaman berikutan kekangan kewangan. 

“Saya tanya apa boleh bantu pakcik makcik. Mereka nak bina rumah. Sekarang menumpang di tanah orang lain. Nak buat atas tanah mereka sendiri. Terus ke tanah tadi. 

“Kami akan bina rumah baru untuk pakcik makcik ni di tanah milik mereka insyaAllah. Doakan ye. Semoga dimudahkan segala urusan. Nak bagi motor tapi mereka tak boleh bawa motor. Selesa berbasikal.

“Walau mereka begitu. Mereka ketawa je. Sentiasa bersama keluarga. Setia dua anaknya bersama ibubapanya mencari rezeki. Setiap hari keluar rumah dengan basikal istimewa ini. Suka melihat kasih sayang keluarga ini,” katanya. 

Ebit juga memaklumkan keluarga itu mendapat bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). 

“Syukur mereka mendapat bantuan JKM dan jiran sekitar. Dan ramai yang suka membantu keluarga ini. Semoga Allah terima kita semua,” katanya. 

Semalam, perkongsian Sabri Yunus berkenaan keluarga yang menetap di Tumpat, Kelantan itu mendapat perhatian netizen. 

Dalam hantaran itu, Sabri Yunus berkongsi beberapa foto yang memaparkan  satu keluarga iaitu terdiri daripada pasangan warga emas serta dua orang anaknya yang sudah dewasa menarik serta menolak sebuah beca yang dinaiki ibu bapa mereka. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here