TMJ ‘unblock’ Fahmi Reza, pelawa bersemuka

0
3

TUNKU Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mempelawa aktivis politik dan artis satira, Fahmi Reza bertemu dengannya.

Pelawaan itu dibuat TMJ menerusi ciapan di Twitternya semalam, yang menyatakan hasrat untuk berjumpa dengan pereka grafik terbabit.

“Sorry. Harap kita dapat jumpa. Saya suka jumpa antimonarch (antimonarki) ni semua. Interesting. Tanya @Marina_Ibrahims (ADUN Skudai),” ciap TMJ.

Terdahulu, Fahmi Reza mendedahkan menerima jemputan mengadap Tunku Ismail secara peribadi, namun enggan berbuat demikian.

Katanya, dia tidak menerima jemputan untuk berjumpa mana-mana individu politik, ketua kerajaan atau mereka dari kelas pemerintah untuk mengelak dirinya daripada dilihat bias atau rapat dengan mana-mana pihak.

“Saya lebih senang kekal sebagai seorang aktivitis yang indipendent. Harap kamu faham kenapa saya tolak jemputan kamu,” katanya.

Malah, Fahmi itu turut mengucapkan terima kasih kepada Tunku Ismail kerana sudah mengarahkan admin media sosialnya untuk tidak lagi menyekat aktivis politik itu.

“Terima kasih sebab dah suruh admin unblock (tidak menyekat). Kita boleh sembang dekat Twitter je,” katanya.

Menerusi satu lagi ciapan, Tunku Ismail memberi mesej bahawa pertemuan dengannya tidak melalui protokol yang terlalu ketat.

Kata TMJ, pertemuannya dengan Marina sebelum ini di sebuah kafe di Jalan Dhoby, Johor Bahru diadakan secara santai sahaja.

“Sebelum ni saya jumpa di kafe Jalan Dhoby relaks saja. Tanya @Marina_Ibrahims. Siapa-siapa nak jumpa ‘most welcome’, sila,” katanya.

Difahamkan, situasi itu berlaku susulan tindakan admin media sosial TMJ yang menyekat Fahmi Reza selepas aktivis itu menghasilkan lukisan grafik satira berkaitan TMJ.

Sebelum ini, Fahmi Reza ada memuat naik satu grafik yang menunjukkan perbezaan di antara Tunku Ismail dengan Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dalam menerima satira politik.

Malah, Tengku Hassanal dilaporkan turut menunjukkan sikap terbuka dalam menerima kritikan apabila menyatakan minat terhadap karya grafik Fahmi Reza.

Dalam hantaran di laman Instagram, Tengku Hassanal turut meminta orang ramai tidak membuat laporan polis terhadap Fahmi Reza. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here