TNB sahkan beberapa negeri alami gangguan bekalan elektrik

0
3

TENAGA Nasional Berhad (TNB) mengesahkan gangguan bekalan elektrik sedang berlaku di beberapa negeri di Semenanjung, bukan hanya melibatkan Lembah Klang.

TNB Careline menerusi kenyataan berkata, pihaknya sedang mengenalpasti punca kejadian dan usaha giat dijalankan untuk memulihkan bekalan elektrik di kawasan yang terjejas.

“Beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia sedang mengalami gangguan elektrik sejak jam 12:39 tengah hari melibatkan 2.2GW yang merupakan 10 peratus daripada keseluruhan permintaan bekalan.

“Antara kawasan terlibat adalah di Petaling Jaya, Cheras, Bangi, Bayan Lepas, Seberang Jaya, Panchor dan Bandar Indera Mahkota.

“Bagaimanapun, bekalan telah dipulihkan sepenuhnya dalam tempoh 20 hingga 40 minit di semua kawasan terlibat kecuali di kawasan-kawasan terbabit di Lembah Kelang,” menurut kenyataan itu.

Katanya, TNB akan memaklumkan perkembangan terkini kepada para pelanggan dari semasa ke semasa.

“Kami mohon maaf di atas segala kesulitan yang dialami oleh pengguna semasa gangguan bekalan ini,” katanya.

Semakan di Twitter mendapati gangguan bekalan elektrik berlaku sehingga ke Melaka, Pahang, Kedah dan Pulau Pinang.

Video yang dikongsi netizan di laman itu juga memaparkan keadaan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dikatakan ‘bergelap’ susulan gangguan bekalan elektrik.

Ciapan @Fatenatikah memberitahu kawasan Pulau Gadong, Melaka juga terkesan dengan gangguan bekalan elektrik sejak tengah hari tadi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here