Umno perlu contohi keprihatinan era Muhyiddin

0
2
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba kira-kira pukul 12.43 tengah hari di Istana Negara bagi mengadap Yang di-Pertuan Agong hari ini.

PERDANA Menteri yang memotong gajinya untuk membantu rakyat tidak dapat dinafikan adalah Tan Sri Muhyiddin Yassin sehingga dikenali sebagai Abah Prihatin Negara, kata Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) Kedah, Khairul Anuar Ramli.

Katanya, semasa negara dilanda pandemik dan rakyat terkesan dari sudut ekonomi mereka, Kabinet di bawah Muhyiddin memutuskan dua bulan gaji Perdana Menteri, menteri dan timbalan menteri dipotong dan disalur kepada Tabung Covid-19.

Ini menurutnya, bagi membuktikan kesungguhan kerajaan ketika itu untuk membantu mereka yang menerima kesan akibat penularan wabak Covid-19.

“Hari ini, beberapa pimpinan Umno seperti Naib Presiden, (Datuk Seri) Mohamed Khaled Nordin mengakui tiada negara berjaya menurunkan inflasi dengan memotong gaji menteri. Beliau kemudian mencadangkan pemotongan gaji perlu dibuat sebagai tanda solidariti dan keinsafan terhadap kesusahan dan keperitan rakyat.

“Alangkah baik jika mereka yang memegang jawatan tertinggi dalam Umno menyeru agar Perdana Menteri untuk mencontohi sikap dan moral ditunjukkan Muhyiddin sebelum ini.

“Malangnya perkara ini tidak berlaku kerana bagi mereka, mencontohi Muhyiddin atau menyebut perkara yang baik dibuat oleh Muhyiddin akan menyebabkan populariti mereka berkurang dan sokongan ke atas Muhyiddin bertambah.

“Inilah sikap tidak matang dalam sesetengah kepimpinan politik di dalam negara kita,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Khairul Anuar berkata, rata-rata rakyat menyatakan rindu zaman Muhyiddin menjadi Perdana Menteri dan berharap Ahli Parlimen Pagoh itu membuat sesuatu untuk membantu mereka di saat bergelut dengan kesusahan sekarang ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here