Pembentangan RUU Anti Lompat Parti hasil MoU PH-Perdana Menteri

0
3

SETIAUSAHA Organisasi Kebangsaan DAP, Steven Sim Chee Keong menzahirkan komitmen untuk menyokong penuh Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata, perkara itu merupakan detik bersejarah hasil daripada memorandum Persefahaman (MoU) yang dimetrai antara Pakatan Harapan (PH) dengan Perdana Menteri.

“Detik bersejarah! Kini (Perdana Menteri) sedang membentangkan pindaan Perlembagaan untuk melarang tindakan lompat parti oleh wakil rakyat.

“Jangan khianat undi rakyat! Siapa-siapa lompat parti selepas dipilih jadi wakil rakyat, dia akan hilang kerusinya,” tulisnya di Facebook.

Dalam pada itu, Steven Sim yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam berkata, budaya katak politik perlu dihapuskan demi memulihkan demokrasi negara.

“Saya mewakili rakyat Bukit Mertajam akan menyokong penuh undang-undang ini untuk menghapuskan katak politik di negara kita yang tercinta. Jalan terus,” katanya.

Hari ini, Perdana Menteri membentangkan RUU Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 dan Peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti.

Dalam pembentangan itu, Ismail Sabri menjelaskan kerajaan memandang serius tindakan lompat parti di kalangan wakil rakyat yang menimbulkan polemik dalam masyarakat umum

Jelas Perdana Menteri, Pindaan Perlembagaan berkaitan larangan lompat parti adalah untuk memastikan kestabilan politik, elak negara berdepan krisis politik yang tiada berkesudahan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here