MENTERI Kesihatan Khairy Jamaluddin akan membentangkan akta untuk mengharamkan rokok, rokok elektronik (vape) dan semua alat merokok kepada golongan yang lahir selepas 2007 di Parlimen minggu depan.
Beliau matlamat cadangan Generation End Game (GEG) itu adalah untuk mewujudkan generasi baharu Malaysia yang bebas daripada perbuatan merokok pada masa akan datang.
“Bayangkan negara kita tanpa asap rokok, bayangkan satu generasi tidak kenal apa itu rokok.
“Tidak mustahil untuk ini berlaku. Ini boleh jadi realiti kita dan negara kita,” katanya menerusi hantaran video di laman TikTok hari ini.
Menurutnya, dalam tempoh seminggu ini beliau akan keluarkan kandungan video setiap hari dengan fakta dan bukti bagi menyakinkan masyarakat menyokong GEG.
Khairy berkata, semua pihak boleh memainkan peranan untuk akta berkenaan diluluskan dan meminta orang ramai menyuarakan pandangan jika bersetuju untuk GEG dengan akta berkenaan.
“Jika anda mahukan anak-anak dan cucu-cucu kita bebas daripada asap rokok, suarakan mengenainya. Beritahu ahli Parlimen anda untuk sokong akta ini,” katanya..
“Sokongan anda mampu melahirkan generasi yang lebih sihat. Mari lakukan ini,” katanya. – Malaysiapost

