SEORANG lelaki yang disyaki merompak dan membakar kedai runcit di Felda Tersang 1, Raub, Pahang, kelmarin ditahan polis di kawasan ladang kelapa sawit Felda Sungai Koyan, Lipis semalam.
Suspek berusia 50 tahun dan tidak bekerja itu ditahan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub dan Balai Polis Cheroh dengan bantuan Cawangan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang pada jam 7.15 malam.
Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Kama Azural Mohamed berkata, ketika tangkapan dibuat, suspek bertindak agresif dan berlaku pergelutan di antara dia dan polis.
“Susulan daripada itu, polis turut menemukan sebuah beg warna hitam tertulis waterproof, wang tunai RM1,420, seutas gelang tangan emas berloceng, dua utas gelang tangan emas, dua unit pemetik api jenama Aladdin dan satu pemetik api jenama Cricket,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kama Azural berkata, hasil semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai 10 rekod kesalahan dadah dan empat rekod kesalahan jenayah.
Katanya, soal siasat awal ke atas suspek juga mendapati dia mengakui bertindak bersendirian melakukan rompakan hingga mendatangkan kecederaan serta khianat dengan api.
“Suspek akan dibawa ke Mahkamah Sesyen Raub untuk permohonan reman,” katanya.
Pada Sabtu lalu, seorang pembantu kedai warga Indonesia dipukul, dirompak sebelum Kedai Mara di Felda Tersang 1 itu dibakar.
Kejadian kira-kira jam 2 pagi itu menyebabkan Nur Hasanah, 43, mengalami kecederaan parah di bahagian muka dan kepala. – Malaysiapost

