Umno rakus kuasa – Zulkifli

0
2

KEPIMPINAN Umno diingatkan agar tidak terlupa erti setiakawan selepas diberi ‘nyawa’ untuk bersama kerajaan Perikatan Nasional (PN) menaungi semula pentadbiran negara.

Setiausaha Penerangan Bersatu Negeri Perak Datuk Dr Zulkifli Abdul Aziz, berkata Umno ketika ini dilihat terus menunjukkan kerakusan kuasa apabila memegang tampuk kepimpinan negara.

“Saya secara peribadi terpanggil untuk menyentuh perkara ini apabila sering kali melihat apa yang berlaku dalam pentadbiran kerajaan menjadi satu kebiasaan tanpa teguran.

“Empat hari lalu, wakil Umno, Apli Yusoff telah dilantik sebagai Pengerusi Perbadanan Tabung Pinjaman Tinggi Nasional (PTPTN), sebelum ini diketuai oleh Datuk Wan Saiful Wan Jan, wakil dari Bersatu.

“Sepatutnya sebagai menghormati rakan bersama parti komponen dalam kerajaan, wakil yang dilantik sepatutnya di kalangan Bersatu juga,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, ia bukan sekadar PTPTN sahaja, banyak lagi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan lembaga pengarah mengalami nasib yang sama.

“Malah isu kedudukan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Zuraida Kamaruddin yang telah keluar Bersatu pun masih senyap dan tiada tindakan daripada kepimpinan yang diterajui wakil Umno juga, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Jawatan Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH), yang dahulunya diketuai wakil Bersatu Senator Datuk Razali Idris, kini diberi kepada bekas Menteri Besar Terengganu dari Umno, Datuk Seri Ahmad Said.

“Jawatan Pengerusi FINAS yang dulunya diisi wakil Bersatu, kini diberi kepada Ketua Wanita Umno Wilayah Persekutuan, Senator Datuk Seri Zurainah Musa. Ada banyak lagi,” katanya.

Menurutnya, kepimpinan Umno harus belajar, kerakusan kuasa dan ketamakan yang ada dalam diri hanya akan merugikan rakyat dan rakyat melihat semua tindak tanduk serta akan mengadili pada hari Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.

“Sebelum ini, saya mempunyai pandangan segelintir pemimpin Umno sahaja yang bermasalah dengan kerakusan dan ketamakkan kuasa, akan tetapi saya sangat berbeza pandangan sekarang apabila satu demi satu isu yang menunjuk hampir semua pemimpin mempunyai masalah yang sama.

“Nilai murni seperti menghormati satu sama lain terutamanya sebagai rakan komponen tidak diutamakan, malah budaya tikam menikam di belakang lagi hebat dari sebelumnya,” katanya.

Beliau merasakan, sekiranya sistem yang Umno amalkan dari dulu masih diamalkan sehingga hari ini, parti itu wajib memerlukan kepimpinan baru secara keseluruhan.

“Oleh itu, perkara-perkara seperti ini patut diatasi demi menghormati rakan komponen dan setiakawan. Kesabaran dan kesetiaan yang ada jangan terus diuji, sekiranya ada tindakan susulan akan menyebabkan banyak pihak terkesan.

“Sekiranya masih berterusan, saya sarankan Menteri-Menteri PN (Bersatu) segera semak semula kedudukan pengerusi-pengerusi agensi/lembaga yang ada sekarang ini untuk mengangkat maruah Bersatu supaya tidak lagi dipandang rendah oleh mereka,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here