Asyraf Wajdi nafi tuduhan mengampu Najib

0
3

KETUA Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menafikan tuduhan bahawa beliau mengampu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Dalam hantaran di Facebooknya bersempena ulang tahun kelahiran Najib hari ini, Asyraf Wajdi menjelaskan apa manfaat untuknya berbuat demikian kerana Ahli Parlimen Pekan itu kini tidak lagi mempunyai kedudukan atau jawatan.

Jelasnya, namun atas dasar hormat dan adab, beliau pastinya tidak akan melupakan segala jasa Najib, jauh sekali untuk ‘memijaknya’ di saat bekas Presiden Umno itu sudah jatuh tersungkur.

“Ada orang tuduh saya mengampu beliau. Jawapan saya mudah, apa manfaatnya saya mengampu seseorang yang sudah tiada apa-apa jawatan dan kedudukan?

“Sebagai seorang Islam dan Melayu, saya berpegang kepada nilai adab dan prinsip menghormati orang yang pernah berjasa kepada diri kita walau sekecil mana sekalipun bakti dan jasanya,” katanya.

Dalam hantaran sama, Asyraf Wajdi turut mengucapkan selamat ulang tahun kelahiran kepada Najib dan mendoakan beliau dirahmati Allah SWT.

“Happy Birthday Datuk Seri Najib Razak. Moga Allah rahmati dan berkati umur yang tersisa untuk terus berbakti pada Agama, Nusa dan Bangsa.

“Didoakan juga agar Allah permudahkan segala urusan dan mengangkat segala kesusahan dan kesulitan beliau,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here