PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diberi kata dua agar berhenti menguji kesabaran Perikatan Nasional (PN) melalui pengagihan jawatan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) berat sebelah kepada Umno dan Barisan Nasional (BN)
Ketua Armada Bersatu Subang, Hazrilhafizi Mohayan, berkata banyak kuota jawatan GLC dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dikawal Umno dan BN yang mana jawatan disandang PN sebelum ini telah sengaja dikosongkan atau ‘dicuri’ secara halus sekali gus sengaja cuba menggugat kerjasama dalam kerajaan.
“Jangan biadap dan kurang ajar dengan Presiden PN dan sengaja menguji kesabaran ahli-ahli PN di bawah. Datuk Seri Ismail Sabri perlu sedar sebelum ini yang mengangkat beliau sebagai PM adalah komponen PN bukan parti beliau sendiri yang memandang beliau sebagai bahan buli Presiden Umno,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menjelaskan mengenainya, Hazrilhafizi berkata, Bersatu tidak pernah bersetuju agihan jawatan dibuat kepada puak Umno-BN semata-mata bertujuan meraih sokongan ke atas Ismail Sabri dalam pemilihan kelak.
“Janji berhubung lantikan jawatan telah dipersetujui sebelum ini untuk menyokong Ismail Sabri sebagai PM melalui MoU yang telah ditandatangani oleh pihak berkepentingan dalam membentuk kerajaan sekarang.
“Kini rakyat melihat beliau seperti PM bayangan atau boneka yang dikawal kluster mahkamah yang ditolak rakyat,” katanya.
Hazrilhafizi menambah, Umno dan BN langsung tidak menghormati kehendak rakyat apabila rakus untuk mencari dana bagi pemilihan parti dan piliharaya.
“Saya bersama ahli lain akan mendesak Ahli Parlimen PN yang memegang jawatan Menteri atau di dalam kementerian bagi melihat semula jawatan GLC dan GLIC yang dipegang oleh puak UMNO-BN ini. Jika perlu diusir atau dikosongkan kita sebagai ahli mendesak ia segara dilakukan.
“Keduanya fokus kita terhadap bajet 2023 ini untuk membantu rakyat dan memulihkan ekonomi Negara bukan untuk puak Umno-BN atau pemilihan parti mereka.
“Jika kelihatan bajet yang dibentangkan kelak fokusnya kepada memberi peruntukan kepada puak Umno-BN kita desak ia ditolak oleh MP dari PN,” katanya. – Malaysiapost

