RAMAI pemimpin Umno tidak faham agenda tersembunyi Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), kata Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
Ahmad Shabery yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, turut menyelar tindakan segelintir pemimpin parti itu yang mahu Memorandum Persefahaman (MoU) bersama pembangkang diteruskan.
“Mereka beli masa menjilat luka lepas kalah teruk di Melaka dan Johor. Sebab itu kalau boleh MOU mesti dipanjangkan. Peruntukan pun dapat.
“PH pun tak kisah sangat nak sokong semua Rang Undang-Undang Kerajaan, kerana ramai seperti Tan Sri (Annuar Musa) yang tetap seronok mempertahankan MOU itu,” katanya menerusi Facebook.
Malah, Ahmad Shabery berkata, beliau percaya PH dan PN juga akan lebih ‘seronok’ sekiranya kalau pemilihan Umno diadakan dahulu sebelum PRU15.
“Harapan mereka, bila ada petempuran ramai yang luka. Waktu itulah paling sesuai MoU ditamatkan dan PRU15 diadakan. Cantik mainannya kan,” katanya.
Terdahulu, Annuar menegaskan MoU kerajaan dan pembangkang bukan ditandatangani antara parti dengan parti, sebaliknya dimuktamad di antara Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan PH.
Katanya, walaupun Umno berhak membuat keputusan untuk tidak menyambung MoU itu, namun parti terbabit tetap perlu faham fakta berkenaan.
Annuar berkata, MoU itu termaktub terpakai sehingga pembubaran Parlimen ke-14 yang tidak akan diusulkan sebelum 31 Julai ini.
Sebelum ini, Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan, memaklumkan keputusan MKT Umno memutuskan tiada lagi lanjutan terhadap MoU di antara kerajaan dan PH. – Malaysiapost

