TUN Dr Mahathir Mohamad, berpendapat tindakan bekas Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali yang sanggup ‘bersekongkol’ dengan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low adalah amat mencurigakan.
Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu, berkata laporan-laporan berita bahawa Apandi bertindak sebagai orang tengah untuk Jho Low amatlah mengejutkan.
“Pertamanya, Apandi ketika menjadi Peguam Negara telah menyatakan tidak berlaku sebarang jenayah berkaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta ‘menyucikan’ Perdana Menteri ketika itu Datuk Seri Najib Razak.
“Pendiriannya itu berlaku di waktu beberapa negara luar telah mengambil tindakan terhadap bank-bank dan orang persendirian yang terbabit dengan jenayah 1MDB,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, kerana itu apabila Pakatan Harapan (PH) mengambil-alih kerajaan, perkhidmatan Apandi tidak dilanjutkan kerana sikap dan tindakannya ‘menyucikan’ 1MDB secara langsung adalah kegagalannya melaksanakan amanah dan tanggungjawab Negara.
Dr Mahathir berkata, selain itu, tindakannya juga secara langsung mempertahankan jenayah-jenayah yang telah dilakukan oleh Najib dan sekutu-sekutunya termasuklah Jho Low.
“Hari ini hakim-hakim mahkamah tinggi dan mahkamah rayuan telah mendapati perlakuan jenayah tetap berlaku di dalam 1MDB dan menghukum penjara Najib kerana kesalahan-kesalahan berkaitan 1MDB.
“Sepatutnya Apandi merasa bersalah dan menyesal kerana pendiriannya menyekat jenayah 1MDB dari dihadap ke mahkamah,” tegasnya.
Beliau berkata, namun sebaliknya Apandi sanggup menjadi orang tengah untuk Jho Low mendapat penyelesaian dan diberitakan dengan membayar kerajaan Malaysia RM1.5 billion.
“Ini bermakna Jho Low bersalah. Jika tidak bersalah kenapa menawar wang untuk menyelesaikan tindakan terhadapnya.
“Kesediaan Jho Low membayar untuk penyelesaian membukti bahawa Jho Low mengakui kesalahan,” katanya.
Dr Mahathir berkata, timbul juga kecurigaan bahawa kerjasama Apandi dengan Jho Low telah bermula semasa dia menjadi Peguam Negara dan satu siasatan perlu dilakukan terhadap Apandi.
“Ini bukan sahaja satu ‘conflict of interest’. Lebih dari itu, ia adalah satu jenayah terancang untuk mencuri harta rakyat dan negara dan ini membabitkan bukan sahaja Najib dan Jho Low tetapi juga Apandi.
“Kerajaan hari ini bertanggungjawab untuk menyiasat kerana terdapat unsur kolusi (collusion) dan subahat (complicity) Apandi di dalam jenayah 1MDB untuk memastikan penyamun-penyamun negara yang terbabit dalam jenayah terancang ini diadili dan dihukum,” tegasnya. – Malaysiapost

