Najib dedah 10 kali mahkamah timbang tara sebut surat Tommy Thomas

0
2

MAHKAMAH Timbang Tara Sepanyol telah menyebut sekurang-kurangnya 10 kali berkenaan surat yang diutuskan bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas kepada waris kesultanan Sulu. 

Perkara itu didedahkan Datuk Seri Najib Razak yang mendakwa, surat kekesalan Tommy itu telah dipetik oleh hakim Gonzalo Stampa yang menunjukkan Malaysia di bawah pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika itu seolah-olah mengiktiraf tuntutan wakil kesultanan Sulu itu. 

“Tahu kah Tun M bahawa surat kekesalan Tommy Thomas dipetik sekurang-kurangnya 10 kali ketika hakim timbang tara Gonzalo Stampa menjelaskan kewajaran anugerah diberikan kepada waris Sultan?

“Dan tahukah Tun M bahawa pendirian kerajaan PH mengaku dan mengiktirafkan tuntutan wakil Sulu ke atas Sabah akan memberi kesan jangka masa panjang sebab kamu telah iktiraf bahawa Sabah memang milik wakil Sulu.

“Tahukah kamu bahawa surat Tommy boleh disamakan dengan surat yang dikeluarkan oleh Pemangku Setiausaha Kerajaan Negeri Johor pada 1953 kepada Singapura terhadap pemilikan Pulau Batu Putih?” katanya di Facebook, hari ini. 

Najib yang merupakan Ahli Parlimen Pekan menjelaskan, pendirian kerajaan PH bertentangan dengan pendirian Malaysia selama ini sebagai negara berdaulat.

“Akhirnya Tun M membuka mulut berhubung isu tuntutan Sulu. Dia kata pendirian kerajaan PH ialah mereka komited tunaikan janji untuk membayar waris Sulu – bermaksud mereka iktiraf tuntutan ke atas Sabah.

“Bermaksud kerajaan PH mengaku Sabah dimilik waris Sulu – iaitu bertentangan dengan pendirian Malaysia selama ini sebagai negara berdaulat.

“Lalu Tun M kata biarpun mereka iktiraf tuntutan waris Sulu mereka tidak iktiraf keputusan mahkamah Sepanyol,” katanya. 

Najib juga membidas Dr Mahathir yang kerana masih meletakkan kesalahan kepadanya yang menghentikan pembayaran tuntutan RM5,300 setahun kepada waris kesultanan Sulu pada 2013.

“Sebenarnya Tun M dan kerajaan PH sedar apa mereka sedang buat tak ataupun dalam kekeliruan pada setiap masa ketika mereka memerintah?

“Lalu Tun M salahkan saya mungkir janji untuk tidak membayar wakil Sulu selepas orang Sulu membunuh 10 wira Malaysia dengan begitu kejamnya dalam pencerobohan Lahad Datu biarpun dia sendiri yang juga suruh negara tidak lagi membayar dan tidak lagi iktiraf tuntutan Sulu ke atas Sabah demi mempertahankan kedaulatan negara pada masa itu,” katanya. 

Dalam pada itu, Najib menegaskan, ketiadaan wakil kerajaan PH untuk melawan kes berkenaan di Sepanyol turut menjadi punca terjadinya kemelut berkenaan. 

“Oh! Sekiranya kerajaan PH tidak iktiraf keputusan mahkamah Sepanyol kenapa pula surat kesal Tommy kepada waris Sulu itu disalin kepada hakim mahkamah Sepanyol?

“Kerajaan PH tak hantar wakil untuk lawan kes di mahkamah Sepanyol kononnya dengan pendirian tak iktiraf keputusan mahkamah Sepanyol tapi kamu boleh pula salin surat mengaku kesal dan salah itu kepada hakim mahkamah Sepanyol?” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here