Wan Saiful gesa Kaukus Parlimen sentuh isu etika jelek Ahli Parlimen 

0
2

KETUA Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan berharap Kaukus Parlimen Demokrasi Pelbagai Parti yang ditubuhkan semalam, dapat memberi tumpuan terhadap etika Ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

Wan Saiful berkata, perkara itu penting kerana sejak sesi Parlimen bermula Isnin lalu, rakyat telah ‘dihidangkan’ dengan pertelagahan yang memualkan dalam Dewan Rakyat dan ia amat tidak sesuai dengan kemuliaan dewan tersebut.

“Bahasa yang digunakan dan intonasi perbahasan pada hari-hari pertama sidang dewan hanya akan menyebabkan rakyat menjadi lebih jelek dengan politik negara. 

“Perkataan-perkataan menghina yang dilemparkan oleh beberapa Ahli Parlimen amat tidak kena tempat.

“Itu belum lagi kita sentuh mengenai ‘tebal muka’ beberapa Ahli Parlimen yang berhadapan pertuduhan pecah amanah dan mencuri, tetapi bercakap seolah-olah mereka ada integriti,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bekas Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) itu berkata, kaukus itu telah mengumumkan bahawa keutamaan awal mereka adalah mengenai penambahbaikan operasi Parlimen dan kesaksamaan gender.

“Ini adalah dua agenda besar yang memerlukan komitmen pelbagai pihak merentas kepentingan politik kepartian.

“Justeru, kaukus ini perlu memainkan peranan untuk mengembalikan keyakinan dan penghormatan rakyat kepada dewan yang mulia itu,” katanya.

Terdahulu, Kaukus Parlimen Demokrasi Pelbagai Parti yang secara rasmi ditubuhkan semalam bakal menggalakkan dialog, penglibatan dan penyertaan rentas parti di Parlimen untuk isu-isu reformasi institusi terutamanya Dewan Rakyat.

Kaukus itu diterajui oleh konvener bersama Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang) dan Maria Chin Abdullah (PH-Petaling Jaya), manakala Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) merupakan sekretariat kepada kaukus tersebut.

Azalina berkata, kaukus itu penting untuk memupuk dan memandu persaingan sihat dan produktif pelbagai parti dalam mewujudkan amalan demokrasi lebih baik di Malaysia.

“Paling penting kita semua Ahli Parlimen dari kedua-dua belah Dewan, sama ada ahli-ahli backbencher atau pembangkang, kita mahu melihat keadaan yang lebih seimbang di Parlimen,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here