Guan Eng gesa PM jumpa Presiden Indonesia selesai isu kemasukan pekerja

0
2

PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob harus bekerjasama dengan Presiden Indonesia Joko Widodo bagi menyelesaikan isu pembekuan pekerja Indonesia ke Malaysia.

Perkara itu disarankan Pengerusi DAP Lim Guan Eng yang berkata, Ismail Sabri harus meyakinkan Indonesia mengenai langkah konkrit yang diambil untuk melindungi hak buruh migran di negara ini.

Menurut Ahli Parlimen Bagan itu, tindakan duta besar Indonesia yang mengecam Malaysia disifatkan amat memalukan sekali gus terdapat defisit kepercayaan yang teruk yang hanya boleh diatasi melalui campur tangan terus Perdana Menteri. 

“Di sebalik jaminan daripada pegawai kerajaan Malaysia bahawa masalah buruh telah diselesaikan, tiada pengesahan daripada Kedutaan Indonesia mengenai bila kemasukan pekerja Indonesia ke Malaysia dapat disambung semula. 

“Laporan Pemerdagangan Manusia Malaysia 2022 terbaru oleh Amerika Syarikat tidak memberikan keyakinan bahawa Malaysia sedang mengambil langkah konkrit bagi menyelesaikan kebimbangan Indonesia untuk melindungi pekerja asing mereka,” katanya dalam kenyataan. 

Guan Eng mendakwa, salah urus tadbir negara terutamanya dalam membawa masuk buruh asing telah menyebabkan kekurangan 1.2 juta pekerja sekali gus menyebabkan kerugian kira-kira RM21 bilion dalam sektor kelapa sawit dan industri sarung tangan getah. 

“Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (Datuk) Zuraida Kamaruddin telah mengakui bahawa sektor kelapa sawit Malaysia telah kerugian anggaran RM10.5 bilion nilai buah yang tidak dipetik dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini kerana kekurangan buruh yang berterusan.

“Jumlah kerugian RM31 bilion itu tidak termasuk kerugian dalam industri selain kelapa sawit atau sarung tangan getah, seperti pembuatan, peruncitan dan hospitaliti, sektor pelancongan dan perkhidmatan, di mana jumlah kerugian yang dikumpulkan akan mencecah berpuluh bilion ringgit,” katanya.

Sebelum ini, Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono dilaporkan sebagai berkata bahawa negara itu menghentikan sementara semua proses berkaitan penghantaran pekerja warganegaranya ke Malaysia.

Keputusan itu dibuat atas alasan berlakunya pelanggaran dalam perjanjian persefahaman yang dimeterai oleh kedua-dua negara pada 1 April lalu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here