UMNO mahu mahu perbuatan menghina mana-mana agama dihentikan kerana ia akan memusnahkan keharmonian negara yang telah lama terbina.
Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata sejak sekian lama masyarakat berbilang kaum negara ini dibentuk dan dididik untuk saling menghormati.
Sehubungan itu beliau hairan mengapa selepas berpuluh tahun bersama tiba-tiba ada anasir-anasir yang mahu merosakkannya.
“Saya fikir yang berkelakuan demikian amat sedikit bilangannya, tetapi mereka ini mampu meranapkan.
“Ibarat barah yang berisiko memusnahkan, kerana nila setitik rosak susu sebelanga.
“Justeru, kebijaksanaan anggota masyarakat adalah didambakan dalam mendepani anasir-anasir seperti ini,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Tambah Ahmad Zahid, setiap penghinaan mereka kepada mana-mana agama tidak harus mengudang amarah sesama masyarakat.
Ini kerana katanya, masyarakat Malaysia perlu tetap sehati sejiwa dan terus bersama memperkasakan kemuafakatan rakyat.
“Kita terus hayati semangat Rukun Negara yang menjadi pegangan kebersamaan kita selama ini.
“Paling tidak boleh diterima jika orang Melayu Islam sendiri yang menghina Islam.
“Mereka yang mengucapkan perkataan biadap boleh jadi di bawah pengaruh dadah atau tekanan mental namun perbuatan mereka adalah wajar dikecam dan dibantah seluruh lapisan masyarakat dan agama,” katanya. – Malaysiapost

