Masyarakat perlu bijak depani perbuatan menghina agama – Ahmad Zahid

0
2
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi

GOLONGAN yang menghina agama walaupun mungkin sedikit bilangannya, tetapi mereka mampu meranapkan keharmonian negara yang dibina selama ini.

Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata golongan berkenaan adalah ibarat barah yang berisiko memusnahkan, seperti kata pepatah kerana nila setitik rosak susu sebelanga.

“Sejak sekian lama masyarakat berbilang kaum negara ini dibentuk dan dididik untuk saling menghormati.

“Mengapa selepas berpuluh tahun bersama tiba-tiba ada anasir-anasir yang mahu merosakkan.

“Saya fikir yang berkelakuan demikian amat sedikit bilangannya, tetapi mereka ini mampu meranapkan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu mengulas mengenai kes beberapa individu yang didakwa menghina agama Islam dan Nabi Muhammad SAW sejak akhir-akhir ini.

Beliau berkata, paling tidak boleh diterima jika orang Melayu Islam sendiri yang menghina Islam.

“Justeru, kebijaksanaan anggota masyarakat adalah didambakan dalam mendepani anasir-anasir seperti ini.

“Setiap penghinaan mereka kepada mana-mana agama tidak harus mengundang amarah sesama kita,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, beliau yakin masyarakat Malaysia tetap sehati sejiwa dan terus bersama memperkasakan kemuafakatan rakyat dan terus menghayati semangat Rukun Negara yang menjadi pegangan kebersamaan selama ini.

“Mereka yang mengucapkan perkataan biadap boleh jadi di bawah pengaruh dadah atau tekanan mental namun perbuatan mereka adalah wajar dikecam dan dibantah seluruh lapisan masyarakat dan agama,” tegasnya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here