Tuntutan Sulu: Kerajaan tidak berganjak, pertahan kedaulatan negara – PM

0
2

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi jaminan kerajaan tidak akan berkompromi atau berganjak walau seinci dalam mempertahankan hak dan kedaulatan negara daripada tuntutan Kumpulan Sulu.

Perdana Menteri menegaskan kesemua aset-aset milik kerajaan atau mana-mana agensi berkaitan kerajaan (GLC) akan dipertahankan dan dilindungi daripada segi perundangan.

Malah, Ismail Sabri berkata, kerajaan sudah mengambil tindakan segera termasuk mewujudkan Pasukan Khas bagi meneliti, memantau serta merangka tindakan undang-undang bagi menangani tuntutan waris Sultan Sulu berkenaan.

“Tindakan sedang dijalankan dan diambil seperti disebut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar. Kita sudah wujudkan Pasukan Khas untuk lihat hal ini secara menyeluruh.

“Bukan setakat aset Petronas sahaja, malah aset-aset lain kita di luar negara. Banyak lagi GLC mempunyai aset di luar negara dan kita tengok secara menyeluruh,” katanya.

Perdana Menteri berkata, Wan Junaidi dan Petronas akan memberikan penjelasan berhubung perkara itu kepada Ahli Parlimen dalam masa terdekat.

Baru-baru ini, Jemaah Menteri menubuhkan pasukan khas bagi meneliti, memantau serta merangka tindakan undang-undang bagi menangani tuntutan waris Sultan Sulu terhadap kerajaan.

Wan Junaidi, berkata beliau akan mengetuai pasukan khas terbabit, selain dianggotai Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah; Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun dan pakar berkaitan timbang tara antarabangsa.

“Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) bersama Jabatan Peguam Negara sedang menentukan terma rujukan dan juga keahlian tambahan, jika perlu bagi pasukan khas ini,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here