ISU tuntutan waris Kesultanan Sulu tidak perlu disensasi dan dipolitikkan termasuk menggesa orang ramai membuat laporan polis terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang dikatakan menjadi punca terjadinya tuntutan berkenaan.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mohd Zaid Ibrahim, berkata isu tuntutan itu mencetuskan keadaan ‘histeria’ bagi sebuah parti politik hingga menyeru ahlinya di seluruh negara untuk membuat laporan polis berkenaan.
“Jangan jadikan isu bekenaan sebagai satu ‘pesta’. Laporan polis tidak perlu sampai beribu orang buat..itu dah macam cuba nak menghasut. Laporan polis ini satu sudah cukup..sama kesannya, malah polis boleh bertindak terhadap seseorang itu kalau tiada orang buat laporan..polis sendiri yang akan buat laporan.
“Jadi janganlah kita sensasikan setiap benda yang berlaku..mempolitikkannya. Kita main politik setiap hari pagi, petang, malam dan siang tanpa mengira apa isu sebenar,” katanya dalam satu rakaman video di laman Facebooknya, hari ini.
Beliau berkata, isu sebenar yang sepatutnya dibincangkan adalah mengenai kenaikan harga barang, banjir di Baling, Kedah, dan perkara-perkara penting lain seperti isu pekerja asing.
“(Isu) Pekerja asing apa statusnya? Saravan (Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan) dengan Hamzah (Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin) dah kawan ke? Dah selesai ke?.
“Banyak benda yang penting kena bahas dalam Parlimen, bukan isu sensasi,” katanya.
Beliau turut mengulas mengenai kenyataan seorang Ahli Parlimen di Dewan Rakyat semalam, yang mendakwa isu tuntutan waris Kesultanan Sulu itu ditolak kerana kerajaan tidak mempedulikan Sabah.
“Petronas bukan sahaja kepunyaan orang Sabah, ia kepunyaan rakyat Malaysia dan tiada kena mengenai dengan tidak mahu pedulikan Sabah.
“Ini bukan masanya untuk kita bertindak mengikut emosi, kita ikut fakta..ikut keadaan sebenar. Apa kerugian yang telah berlaku, apakah kerajaan tidak buat sesuatu mengenainya tuntutan waris Sulu? soalnya.
Beliau percaya kerajaan boleh menerangkan tindakan yang dilakukan sekarang tanpa perlu membahaskannya di Parlimen.
“Tidak semua benda perlu dibahas, penerangan boleh dibuat oleh kerajaan..oleh Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun. Saya percaya Idrus Harun telah pun melakukan sesuatu untuk memastikan tuntutan Timbang Tara karut ini tidak memberi kesan kepada Petronas.
“Saya harap kita bertenang sedikit dalam keadaan negara menghadapi banyak masalah lain. Pemimpin kena bertenang, jangan terlalu emosi, jangan terlalu histeria,” katanya. – Malaysiapost

