[PARLIMEN] KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) sedang menilai kepada penghasilan vaksin Covid-19 generasi baharu yang mungkin akan dibawa masuk ke negara ini selepas mendapat kelulusan badan pengawalselia kesihatan bagi berdepan cabaran penularan varian baharu.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata jika vaksin yang dibangunkan bagi varian Omicron dan varian baharu yang lain didapati berkesan dan selamat, KKM mungkin mempertimbang perolehan vaksin itu pada masa akan datang.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Rubiah Wang (GPS-Kota Samarahan) yang bertanya sejauh mana Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sebelum ini mampu untuk berdepan dengan virus yang sentiasa bermutasi dan adakah kerajaan merancang untuk melaksanakan pemberian dos kedua.
Dalam perkembangan sama, Khairy berkata, kerajaan akan pertimbang untuk mengetatkan kembali prosedur operasi standard (SOP) sekiranya kes Covid-19 terus meningkat.
Beliau berkata, kerajaan bagaimanapun berharap rakyat terus patuh pada pematuhan SOP yang diguna pakai sejak menghadapi pandemik berkenaan.
“Cukup setakat beri peringatan kepada orang ramai untuk terus patuh dengan SOP yang masih ada, pakai pelitup muka di kawasan tertutup.
“Namun, sekiranya kes meningkat, perlu kerajaan buat keputusan pertimbang nak ketatkan atau tidak. Tetapi, saya harap pematuhan secara sukarela dapat dimantapkan tanpa ada paksaan atau penguat kuasa melalui undang-undang yang dipakai sejak dua tahun lepas,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan yang dikemukakan Sabri Azit (PAS-Jerai), adakah kerajaan bercadang mengetatkan kembali SOP berikutan kes Covid-19 yang kini semakin meningkat. – Malaysiapost

