Isu tuntutan waris Kesultanan Sulu patut dibahas dalam Dewan Rakyat – Najib

0
3

BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, berpendapat usul tuntutan waris Kesultanan Sulu patut dibenarkan untuk dibahas dalam Dewan Rakyat kerana banyak persoalan yang perlu dijawab.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, beliau sendiri ingin tahu bila waris Sulu benar-benar mulakan saman terhadap Malaysia.

Najib berkata, beliau ingin tahu adakah benar bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak pernah ambil berat dan kabinet ketika itu tidak pernah bincang mengenai tuntutan waris Sulu berkenaan.

Menurutnya, bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng juga mendakwa tidak tahu sekiranya kerajaan PH pernah membayar kepada wakil Sulu atau tidak.

“Saya nak tahu kenapa Peguam Negara kerajaan PH (Tan Sri Tommy Thomas) tidak menghantar peguam untuk lawan saman tersebut dengan mengambil pendirian tidak mengiktirafkan tuntutan waris Sultan.

“Tetapi boleh pula menulis surat kepada wakil Sultan untuk mengiktiraf tuntutan wakil Sulu dengan mengaku kesal tidak membayar dan menawarkan bayaran tunggakan RM48,000 untuk selesaikan kes,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Beliau berkata, persoalan adakah benar bahawa kabinet kerajaan PH tidak pernah tahu atau pernah lulus untuk Tommy menulis surat tawaran berkenaan pada akhir tahun 2019, juga perlu dijawab.

“Dan adakah surat kerajaan PH ini boleh disamakan dengan surat yang dikeluarkan oleh Pemangku Setiausaha Kerajaan Negeri Johor pada 1953 kepada Singapura terhadap pemilikan Pulau Batu Putih.

“Seperti surat Pulau Batu Putih, surat yang dikeluarkan oleh Tommy telah digunakan sebagai bahan bukti di mahkamah antarabangsa,” katanya.

Najib berkata, beliau juga ingin tahu pandangan orang PH sekiranya pendirian mereka sama dengan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, mendiang Karpal Singh dan juga penganalis undang-undang, bahawa Malaysia perlu hentikan bayaran dan tidak iktiraf tuntutan wakil Sulu demi mempertahankan sepenuhnya kedaulatan ke atas Sabah.

“Persoalan-persoalan ini patut dijawab agar orang PH tak lepaskan tangan seolah-olah mereka tidak bersalah dan tidak dijadikan bahan untuk mempersalahkan kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu ataupun kerajaan hari ini,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here