PEMIMPIN PAS, Ahmad Dusuki Abdul Rani menyifatkan manusia kini semakin teruja dengan ‘gemerlapan duniawi’ sehingga lupa urusan lebih penting iaitu menuju hari akhirat.
Teguran itu dibuat bekas Ahli Jawatankuasa PAS Pusat susulan isu tiket Konsert 30 Years of Dewa 19 di Axiata Arena, Kuala Lumpur pada 10 September ini yang habis dijual dalam tempoh sejam, semalam.
“Mengapa tiket sold out? sebab teruja kan? gemerlapan dunia. Masjid tak perlu tiket pun, majlis ilmu dan tazkirah.. itu jalan syurga, tak perlu bayar pun tapi mengapa kita tak teruja?,” soalnya di Facebook.
Ahmad Dusuki, turut menasihati umat Islam supaya mempersiapkan diri kerana akhirat itu hakikatnya sangat dekat.
“Sebab akhirat tu jauh? kita dan akhirat senipis kulit bawang sahaja, (maka) bersiaplah,” katanya.
Semalam, media melaporkan, selepas lebih tiga tahun tidak beraksi, tiket Konsert 30 Years of Dewa 19 sempena ulang tahun ke-30 di Axiata Arena, Kuala Lumpur pada 10 September depan habis dijual dalam tempoh sejam.
Malah, peminat mengeluh sukar mendapatkan tiket sebaik kaunter tiket secara dalam talian menerusi ticket2u.com.my dibuka jam 11 pagi ini.
Ada terpaksa menanti selama dua jam untuk mendapatkan tiket, tidak kurang juga kecewa apabila gagal mendapatkan tempat duduk lebih baik, sebaliknya akur biarpun hanya mendapat tempat duduk paling atas.
Rentetan sambutan terhadap Dewa 19, mengikut wakil penganjur, kemungkinan Konsert 30 Years of Dewa 19 bakal ditambah satu malam lagi, namun, belum pasti.
Dewa 19 kali terakhir mengadakan konsert di Stadium Malawati, Shah Alam pada 2019, namun, tanpa kehadiran Ahmad Dhani. – Malaysiapost

