Jual beli ‘cedok live’ salah dalam Islam – PU Amin

0
2

PENDAKWAH bebas, Pencetus Ummah (PU) Amin tampil menjelaskan kekeliruan berhubung jual beli ‘cedok live’ yang kini semakin mendapat sambutan dalam jual beli menerusi siaran langsung (live) di media sosial.

Trend jual beli tersebut dilakukan secara live dan pembeli tidak boleh memilih barang, hanya penjual akan ‘cedok’ barangan jualan mengikut harga yang ditetapkan.

Menerusi video di TikTok, PU Amin memberitahu jual beli dengan cara itu adalah sama seperti jual beli gharar yang diharamkan dalam Islam.

Katanya, ini kerana dalam jual beli itu apa yang akan diperolehi oleh pembeli belum dipastikan dan tiada jumlah minimum barangan yang akan pembeli terima.

“Kerana ia ada unsur ketidakpastian, ada unsur dicipta-cipta dan unsur penganiayaan. Jadi tolong kawal diri seperti ini,” katanya dalam video itu.

Dalam masa sama, PU Amin menasihatkan agar penjual dalam talian agar tidak meneruskan jual beli ‘cedok live’ dan beliau sama sekali tidak berniat untuk mengganggu ‘periuk nasi’ mana-mana pihak.

“Kita berniaga biar sedikit tapi ada unsur-unsur yang halal dan unsur diredai Allah SWT. Ingat yang sekecil-kecil itu akan dihitung oleh Allah SWT,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here