BARISAN Nasional (BN) mengingatkan Armada Puchong agar usah menyamakan tokoh ekonomi negara, Allahyarham Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid dengan mana-mana individu yang tidak setaraf.
“Usahlah merendahkan tahap keilmuan, jasa dan sumbangan Ungku Aziz serta menyamakannya dengan mereka yang bukan setaraf,” kata Pengarah Komunikasi BN, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah.
Baru-baru ini, Ketua Armada Bersatu Puchong, Fahmi Muhsin Ismail berkata pemikiran Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan setaraf dengan Ungku Abdul Aziz Ungku.
Fahmi Muhsin berkata, kecenderungan itu dapat dilihat menerusi peranan kedua-dua pemimpin berkenaan yang berusaha untuk mewujudkan pendidikan percuma kepada anak bangsa.
“Kerisauan Datuk Wan Saiful merujuk kepada kenyataannya baru-baru ini menunjukkan beliau cakna terhadap masa depan negara khususnya melibatkan sistem pendidikan Negara.
“Kerisauan beliau apabila PTPTN meminjam dari pasaran kewangan pada kadar faedah yang tinggi untuk memberi pinjaman kepada pelajar dengan kadar faedah yang rendah sebelum ini mungkin tidak akan berjaya selainnya PTPTN terpaksa menanggung beban hutang yang tinggi,” katanya. – Malaysiapost

