INDUSTRI filem negara perlu juga memberi tumpuan kepada kisah sejarah serta perjuangan masa lalu dan kini bagi memastikan industri berkembang dengan baik, kata Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) itu berkata dalam masa sama, ia dapat membantu mempertingkat nilai dan kepelbagaian dalam seni, pelakon dan aktiviti lain berkaitan dengannya.
Katanya, syarikat produksi, pihak berkepentingan dan penggiat industri perlu bantuan dan sokongan untuk terus berkembang.
Sehubungan itu tambahnya, FINAS boleh mengenalpasti sejarah kritikal dan perjuangan pejuang masa lalu yang boleh diangkat sebagai bahan untuk dijadikan
filem.
“Ia akan berupaya mencerminkan keadaan sebenar masyarakat dan warganegara Malaysia dari sudut sejarah, perjuangan, sama ada pada zaman pentadbiran sendiri, penjajah dan komunis.
“Apabila semua maklumat sudah dikumpul, ia boleh dijadikan bahan untuk difilemkan sekali gus mendatangkan keuntungan besar seperti mana filem Mat Kilau, yang mencecah kutipan pecah panggung RM80 juta.
“Menerusi kejayaan filem Mat Kilau, kita dapat lihat karya berteraskan sejarah dan
perjuangan mampu mengangkat industri perfileman tanah air ke tahap yang lebih
tinggi,” katanya menerusi kenyataan.
Terdahulu beliau bertemu Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Profesor Dr Md Nasir Ibrahim, antara lain membincangkan usaha memberi tumpuan kepada pembangunan industri perfileman tanah air, khususnya untuk mencerminkan budaya dan sikap sebenar masyarakat Malaysia.
Menerusi pertemuan itu juga, Wan Junaidi menekankan aspek prasarana, bantuan kerajaan dan perbankan yang boleh disalur kepada penggiat industri filem dan FINAS digesa memberi maklumat secara terperinci keperluan industri perfileman, sama ada pembangunan dalam negara mahu pun menarik pelaburan luar.
Beliau juga menegaskan sektor kewangan perlu mencontohi Amerika Syarikat yang mendorong perkembangan Hollywood kerana menyediakan sumber kewangan pelbagai seperti seed capital, venture capital dan pelbagai lagi sumber kewangan.
Tambahnya ia memudahkan pembikin filem mendapatkan modal untuk berkarya sedangkan pembikin filem di Malaysia terlalu bergantung kepada dana kerajaan sahaja.
“Pihak korporat tempatan patut bangkit membantu industri ini selain daripada bisnes tradisional usahawan besar sedia ada.
“Saya menyeru pihak korporat untuk sama-sama membangunkan dan menyumbang bagi mengembangkan industri seni tanah air,” katanya.
Beliau turut berharap kerajaan mempelbagai bantuan merangkumi pembinaan prasarana dan skim percukaian menarik kepada pemain industri seperti pengecualian cukai dan penurunan kadar cukai hiburan yang tinggi oleh kerajaan negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
“Ini perlu campur tangan kerajaan pusat atas budi bicara kerajaan negeri PBT di mana perbincangan penambahbaikan ke atas sistem percukaian cukai tersebut perlu dilakukan supaya hasilnya dapat disumbang semula kepada industri.
“Kerajaan wajar memikirkan pengecualian cukai kepada pihak luar bagi menarik lebih
banyak produksi antarabangsa memilih Malaysia sebagai lokasi penggambaran utama dan pelaburan prasarana,” katanya. – Malaysiapost

