Lagi dua minggu ROS umum permohonan Umno – Ahmad Maslan

0
2

UMNO menjangka Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) memberi keputusan berhubung notis pindaan perlembagaan parti itu dalam tempoh kurang dari dua minggu lagi.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, ini berdasarkan sebanyak tujuh maklumat tambahan diterima parti itu bagi melancarkan proses permohonan berkenaan.

Menurutnya, pindaan itu patut diluluskan dengan segera kerana Umno telah mengikut segala prosedur perlembagaan yang teratur. 

Katanya, permohonan MCA juga telah diluluskan oleh ROS, iaitu dilihat sebagai satu perkara yang serupa, sebelum ini. 

“Selain itu, pada saya sudah menjadi hak sesuatu pertubuhan untuk lakukan apa yang terbaik untuk anggotanya yang mempunyai keahlian 3.4 juta orang.

“Malah Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, juga memberi sokongan dua pertiga ketika pindaan itu disebut. Saya kira ROS yang mengawal selia pendaftaran pertubuhan sepatutnya tahu apa yang terbaik untuk pertubuhan itu,” katanya. 

Ahmad berkata demikian pada siarang langsung program bual bicara secara maya ‘Umno, Apa Cerita ROS?’ anjuran Malaysiagazette, hari ini. 

ROS setakat hari ini masih belum memberi kata putus terhadap permohonan dikemukakan Umno berhubung pindaan perlembagaan berkenaan.

Menjelaskan mengenai penangguhan pemilihan parti, Ahmad berkata, Umno adalah sebuah parti yang besar dan berpandangan ia akan mengganggu proses pilihan raya yang sudah dibuat.

“Kita sudah melatih hampir lima tahun, semua ketua pemuda dan wanita untuk berdepan dengan pilihan raya, jadi sekiranya pemilihan dilakukan, maka semua nanti orang-orang baru.

“Akhirnya Majlis Kerja Tertinggi buat keputusan perlu pinda perlembagaan supaya lebih selamat. Mungkin ini juga akan menjadi trend kepada parti lain untuk buat pemilihan selepas pilihan raya kerana ini akan wujudkan kestabilan parti berkaitan,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here