Hormat pemimpin tidak bermakna bodek – Saifuddin Nasution

0
2

“TAAT kepada pemimpin adalah satu kewajipan dalam berorganisasi,” tegas bekas Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Menurutnya, hormat kepada kepimpinan parti kerana usia, jasa dan pengorbanannya terhadap parti, bukanlah bermakna ia perbuatan membodek.

Beliau berkata, taat kepada pemimpin juga merupakan sifat terpuji dan harus menjadi disiplin.

“Taat kepada pemimpin satu kewajipan organisasi, taat sifat dipuji. Orang Islam dalam solat (berjemaah) ada imam, kita ikut, sekali kita tak ikut imam solat kita terbatal. Kalau imam tak betul kita boleh tegur dalam solat, ada cara tegur imam.

“Imam rukuk (solat) kita rukuk, itu bukan makna bodek imam, itu taat dan patuh pada imam. Imam baca dalam sembahyang bacaannya salah, tegur dia…imam lupa, tegur, ada cara. Dalam sembahyang pun boleh tegur apa lagi di luar.

“Tegurlah Anwar Ibrahim dalam mesyuarat, semua dalam Majlis Pimpinan Pusat (MPP) boleh jadi saksi berapa banyak pandangan dia disanggah, ditolak sampai kadang-kadang dia merayu ‘ini pandangan saya’,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Kongres Nasional ke-16 PKR di Shah Alam, hari ini.

Saifuddin berkata, Anwar adalah pemimpin yang boleh ditegur dan dikritik, namun biarlah secara beradab dan berakhlak.

Semalam, Timbalan Presiden PKR yang baru, Rafizi Ramli berkata kepimpinan baru PKR tidak perlu membodek atau mempertahankan Anwar apabila presiden parti itu dikritik.

Menurut Rafizi, tiada sesiapa perlu mempertahankan Anwar daripada sebarang kritikan kerana peranan penting PKR adalah untuk menarik semula sokongan rakyat terhadap parti itu.

“Kalau saya menjadi Anwar, saya rasa kita perlu terima factual finding (hakikat sebenar) kerana jika kita tidak melakukan apa-apa, ia (situasi sedia ada) akan diterjemahkan kepada keputusan pilihan raya, (di mana) hakikatnya dia telah hilang populariti.

“Apa yang penting untuk parti dan kepimpinan baru adalah bukannya cuba membodek Anwar ke, pertahankan Anwar ke..,” kata Rafizi.

Dalam pada itu, Saifuddin dalam ucapannya bagaimanapun menegaskan hubungannya dengan Rafizi tetap akrab sebagai “adik dan abang” meskipun bertembung dalam pemilihan parti baru-baru ini bagi merebut jawatan timbalan presiden.

Beliau mengingatkan “batu api” dalam parti supaya tidak melagakan mereka kerana ia tidak akan mencarikkan keakraban yang telah terjalin.

Sementara itu, Ketua Penerangan PKR, Shamsul Iskandar Md Akin dalam ucapan penggulungannya pula melahirkan rasa simpati dengan presiden parti itu yang diserang dan diperlekehkan oleh beberapa pihak tertentu.

Secara sinis, Shamsul membaca dua rangkap pantun bagi mengingatkan ahli parti supaya patuh dan hormat kepada pucuk pimpinan parti itu.

“Saya nak dedikasi dua pantun: Bila berbicara khemah besar, jangan kita mudah tersasar, pemimpin hebat jiwanya besar,
diserang digasak tetap sabar.

“Ini bukan bodek, ini pantun, boleh jawab nanti,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here