Pemandu treler rempuh rumah ditahan positif syabu

0
2

PEMANDU treler muatan besi yang merempuh sebuah kediaman di Jalan Peringkat 4, Felda Sendayan, Negeri Sembilan semalam ditahan polis selepas didapati positif syabu.

Penahanan lelaki berusia 32 tahun itu dibuat setelah treler dipandunya terlibat dalam kemalangan berkenaan dalam kejadian kira-kira jam 9.15 malam.

Ketua Polis daerah Seremban Asisten Komisioner Nanda Maarof, berkata siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika sebuah treler membawa muatan besi guna semula dipandu lelaki berkenaan sedang bergerak dari arah Melaka menuju ke arah Sungai Pelek, Sepang seorang diri.

“Ketika di lokasi berbentuk mendaki bukit, treler tersebut dipercayai telah mengalami kerosakan pada bahagian enjin.

“Susulan itu, ia menyebabkan treler berkenaan berhenti secara tiba-tiba lalu mengundur ke belakang sehingga mengakibatkan bahagian ekor lori tergelincir ke kiri bahu jalan lalu merempuh sebuah rumah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Nanda, tiada mangsa dilaporkan mengalami kecederaan dan pemandu treler telah dibawa ke Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban bagi ujian saringan awal air kencing.

“Hasil ujian mendapati dia positif dadah jenis Methamphetamine dan telah ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here