BEKAS Ketua Wanita PKR Fuziah Salleh mencadangkan parti itu menyenarai hitam ahli yang sehingga kini masih gagal memulangkan semula wang deposit ketika menjadi calon pilihan raya sebelum ini.
Menurutnya, bekas calon-calon berkenaan semua menandatangani aku janji sebelum pilihan raya, namun sebaik selesai ada yang gagal memulangkan wang deposit.
“Ini dalam tempoh enam bulan ni, kalau nak minta saya senaraikan…saya boleh keluarkan senarai siapa (bekas calon) siapa yang tak bayar balik deposit.
“Masa suruh tandatangan, beriya semua tandatangan sebab nak jadi calon, minta semula deposit…punyalah susah nak bayar balik. Baik kita senarai hitam…tak payah calonkan pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Kongres Nasional Ke-16 PKR di Shah Alam, hari ini.
Fuziah turut mencadangkan agar PKR melakukan perkara sama kepada ahli yang dilihat cuba menjatuhkan parti dalam media sosial.
“Siapa yang pandai-pandai tulis di Facebook nak jatuhkan parti, kita senarai hitam. Siapa yang buat laporan pada ROS (Jabatan Pendaftaran Pertubuhan) kita senarai hitam juga.
“Kita hantar kepada Lembaga Disiplin parti untuk senarai hitam semua. Kita julang calon yang nak menangkan PKR, bukan yang nak menangkan diri sendiri,” tegasnya.
Tambah beliau, tugas sekiranya dari sekarang parti gagal untuk mendapatkan keyakinan rakyat, mustahil PKR mampu menang dalam pilihan raya atau mempertahankan kerusi sedia ada. – Malaysiapost

