MALAYSIA menggesa semua negara serta pihak yang terlibat untuk memberi kerjasama sepenuhnya mengikut Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) 2166 (2014) berhubung nahas pesawat MH17 milik Malaysia Airlines yang ditembak jatuh lapan tahun lalu.
Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) dalam kenyataan berkata, kerajaan tetap teguh dan komited untuk mencari kebenaran serta menuntut keadilan bagi mengheret pihak yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.
“(Ia dilaksanakan) menerusi prosiding jenayah yang bebas, terbuka dan telus terhadap penjenayah yang didakwa dalam pendakwaan kebangsaan di Belanda ketika ini.
“Proses kehakiman yang menyeluruh mesti dilakukan untuk mendapatkan kebertanggungjawaban penjenayah dan menuntut keadilan bagi mangsa serta waris yang terlibat dalam tragedi MH17.
“Mencari kebenaran terhadap nahas yang berlaku akan terus menjadi keutamaan kami,” kata kenyataan itu.
Kenyataan itu dikeluarkan sempena memperingati ulang tahun ke lapan tragedi tersebut, esok.
MOT berkata, pihaknya memberi jaminan akan meneruskan peranan serta mahu memastikan insiden tragis seperti ini tidak akan berulang lagi.
“Walaupun usaha itu tidak dapat mengembalikan mangsa nahas terbabit ke dunia ini atau mengurangkan kesedihan serta keperitan yang dirasai oleh ahli keluarga dan orang tersayang.
“Kami mengulangi rasa simpati dan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga dan insan tersayang mangsa nahas penerbangan MH17,” katanya.
Sebagai tanda solidariti bersama waris tragedi itu, MOT menyatakan pemergian kesemua mangsa akan terus diingati.
Dalam insiden 17 Julai 2014, pesawat Boeing 777 tersebut dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, ditembak jatuh di bahagian timur Ukraine.
Nahas mengorbankan 298 penumpang termasuk kru pesawat itu. – Malaysiapost

