Kenderaan pelancong guna MPV mewah diwujudkan

0
3

KEMENTERIAN Pengangkutan Malaysia (MOT) bersetuju untuk mewujudkan kenderaan pelancong yang menggunakan kenderaan pelbagai guna (MPV) mewah untuk kegunaan pelancong asing yang berkunjung ke negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira permintaan daripada pengguna terutama warga asing yang mahu menggunakan kenderaan MPV mewah ketika mengunjungi Malaysia khususnya bagi tujuan perniagaan.

“Kebanyakan pelancong asing ini datang dengan jumlah yang sedikit dan mereka juga adalah kumpulan berpengaruh yang ingin menggunakan perkhidmatan atau kemudahan serba mewah mengikut citarasa mereka.

“Sudah tentu kehadiran mereka juga akan memberi manfaat kepada ekonomi kerana mereka tergolong dalam kumpulan yang banyak berbelanja di Malaysia,” katanya menerusi Facebook.

Terdahulu, beliau meluangkan masa menghadiri sesi dialog bersama Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) di Putrajaya, semalam.

Sesi dialog itu bagi membincangkan beberapa isu melibatkan MOT, antaranya mengenai pengoperasian kenderaan membawa pelancong.

Dalam pada itu, Ka Siong berkata, beliau telah meminta Bahagian Darat MOT untuk melaksanakan keperluan tertentu bagi mewujudkan kenderaan pelancong menggunakan MPV mewah dan garis panduannya akan diperincikan kelak.

Selain itu, Ka Siong berkata, dalam pertemuan sama isu lain turut dibangkitkan adalah mengenai hak dan kepentingan orang ramai termasuk pelancong tempatan dan asing yang menggunakan perjalanan udara.

“Terdapat beberapa perkara yang perlu diperhalusi melibatkan syarikat penerbangan.

“Untuk itu, pihak MOT akan mengadakan pertemuan dengan pihak yang berkenaan bagi mencari jalan penyelesaian terbaik secepat mungkin,” katanya.

Beliau berkata, apa yang penting, MOT tidak mahu kekangan yang ada membantutkan usaha bersama dalam memulihkan ekonomi negara.

“Lebih-lebih lagi dalam fasa peralihan ke endemik ketika ini yang memerlukan kita bergerak secara efisyen dan proaktif,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here