Adam seru pertelingkahan dalam AMK tidak berpanjangan

0
4

SEGALA kemelut dan pertelingkahan dalam Angkatan Muda Keadilan (AMK) pada pemilihan sebelum ini tidak perlu dipanjangkan. 

Ketua AMK yang baharu, Adam Adli Abdul Halim berkata, para pemimpin sayap PKR itu harus melihat pada cabaran di hadapan yang lebih besar menanti mereka. 

“Kita sedar, kalau pemilihan yang baharu kita tempuhi sebelum kita sampai ke hari ini, sedikit sebanyak menimbulkan calar dan balah antara sebahagian kita semua.

“Begitulah, adat dalam pertandingan, akhirnya ada bersaing ada bertingkah, ada bertegang ada berbalah. Namun, sebagai pemimpin ada kewajipan ke atas diri kita untuk melihat gambaran yang lebih besar.

“Janganlah kita berpanjang-panjangan dan terbawa-bawa dengan telingkah pemilihan yang lepas,” katanya dalam ucapan pada Kongres Pemuda PKR, hari ini. 

Adam turut menyeru agar ahli dalam sayap parti itu kembali bermaafan antara satu sama lain.

“Andai ada salah dan khilaf, bermaaf-maafanlah kembali antara kita semua kerana di hadapan nanti, ada segunung cabaran yang sedang menanti kita,” katanya.

Adam menegaskan, berdasarkan perubahan landskap pilihan raya yang menyaksikan peningkatan besar pengundi muda baharu, tumpuan perlu dibuat bagi menarik sokongan golongan itu.

“Tumpuan teralih kepada keupayaan kita untuk mengembleng sokongan kaum muda mengangkat PKR dan Pakatan Harapan mencapai kejayaan dalam pilihan raya yang bakal kita hadapi tidak begitu lama lagi,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here