KEKECOHAN kecil berlaku di Kongres Pemuda PKR (AMK) di Shah Alam hari ini apabila sekumpulan anggota parti dilarang mewakili cabang mereka dalam sidang tersebut.
Memetik Malaysiakini, difahamkan perang mulut berlaku sebaik sahaja kongres sayap itu bermula apabila sekumpulan ahli dihalang masuk oleh petugas dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 10 pagi tadi.
Danish Hairudin salah seorang yang terlibat dalam insiden itu memaklumkan sekretariat kongres hanya membenarkan 75 cabang AMK untuk menghantar perwakilan mereka.
Menurut Danish, tindakan itu disebabkan cabang yang gagal membuat mesyuarat agung tahunan (AGM) atau tidak menghantar laporan mereka kepada sekretariat tidak dibenarkan menghantar perwakilan dalam kongres sayap itu.
“Tapi ini kesilapan kepimpinan sebelumnya di cabang terlibat. Mereka yang tidak membuat AGM.
“Barisan kepimpinan baru tidak melakukan apa-apa kesalahan kerana mereka baru saja dipilih dalam pemilihan baru-baru ini,” katanya.
Anggota AMK Kota Raja itu mendakwa sekatan itu juga melanggar perlembagaan parti, yang memberi hak kepada pemimpin cabang untuk menghadiri kongres kebangsaan.
“Perlembagaan parti menjamin hak pemimpin peringkat cabang yang dipilih untuk hadir ke kongres parti. Tiada peruntukan yang menyatakan pemimpin peringkat cabang boleh dihalang kerana kepimpinan sebelumnya tidak membuat AGM,” katanya.
Mengulas kejadian itu, Setiausaha AMK Syukri Razab berkata insiden itu tidak sepatutnya timbul.
Beliau berkata, ahli tersebut dihalang masuk ke dewan kongres kerana mereka bukan perwakilan.
Menurutnya, untuk menjadi perwakilan, ada dua syarat yang perlu dipenuhi.
“Pertama, cabang mesti buat AGM dengan cukup korum dan hantar laporan. Korum mesti cukup dan laporan perlu ada semua tandatangan.
“Kedua, cabang mesti ikut proses pemilihan secara sempurna. Perlu ada sekurang-kurangnya lapan pencalonan (untuk semua jawatan peringkat cabang) ketua, timbalan, naib ketua dan lima ahli jawatankuasa.
“Apa yang berlaku tadi, mereka hanya mematuhi syarat kedua,” jelasnya.
Syukri menjelaskan, AGM perlu diadakan kerana dalam mesyuarat itu, cabang akan memberi mandat kepada barisan kepimpinan baru untuk menjadi wakil di kongres kebangsaan PKR. -Malaysiapost

