Jawatan TPM: ‘Saya hanya diminta sedia draf MoA’  – Takiyuddin

0
2

SETIAUSAHA Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata beliau hanya diminta menyediakan draf perjanjian Memorandum Perjanjian (MoA) berkaitan jawatan Timbalan Perdana Menteri seperti yang dibangkitkan baru-baru ini.

Ia selaras dengan permintaan oleh pihak yang didakwa menandatangani perjanjian itu iaitu antara Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Kena tanya orang yang tandatangan, saya tidak tandatangan. Saya sebagai peguam, saya draf perjanjian itu mengikut apa yang dikehendaki oleh orang yang hendak tandatangan. Itu ialah Tan Sri Muhyiddin dan Datuk Seri Ismail Sabri.

“Saya percaya kedua-dua belah pihak ini sudah bincang barulah buat perjanjian. Saya ini kebetulan peguam. Saya atas permintaan, untuk personal favour (bantuan peribadi) saya pun draf. Saya tak terlibat dalam perjanjian. Namanya ialah Memorandum Perjanjian, MOA,” katanya seperti dilapor AstroAwani.

Isnin lalu, Muhyiddin menegaskan bahawa sememangnya wujud perjanjian mengenai jawatan Timbalan Perdana Menteri dan kuota Kabinet.

Menurutnya, selaku Pengerusi PN, beliau menandatangani perjanjian itu bersama-sama Perdana Menteri dan disaksikan oleh Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin serta Tan Sri Annuar Musa.

Malah, katanya, draf perjanjian itu digubal oleh Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung PAS membabitkan kekosongan jawatan menteri, pengerusi GLC serta Timbalan Perdana Menteri.

Isu jawatan TPM terus menjadi polemik selepas bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Muhyiddin, Datuk Dr Marzuki Mohamad mendakwa perjanjian di antara PN dengan Ismail Sabri, memang wujud.

Sementara, Presiden PAS, Tan Abdul Hadi pula dilaporkan berkata, partinya berpegang kepada keputusan awal penubuhan kerajaan pimpinan PN, iaitu tiada pelantikan TPM dilakukan dan tiada sebarang perjanjian dibuat.

Susulan itu, beberapa pemimpin Umno termasuk Setiausaha Agung, Datuk Seri Ahmad Maslan  turut mengesahkan perjanjian pelantikan TPM antara parti itu dan PN tidak dibincangkan oleh MKT serta pemimpin lima jawatan tertinggi atau ‘Top Five’ Umno.

Justeru ada pihak yang meminta Perdana Menteri membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada pilihan raya sekiranya Bersatu terus mendesak diberikan jawatan berkenaan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here