Isham nasihat Nazri jangan alih isu, ungkit cerita 13 tahun lepas

0
3

AHLI Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Isham Jalil membidas Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz kerana membangkitkan ‘cerita lama’ berhubung isu pelanggaran perjanjian yang dibuat pada 2009 membabitkan pemimpin parti itu.

Isham berkata, beliau melihat kumpulan penyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Umno ketika ini cenderung mengungkit ‘cerita lama’ untuk menutup ‘cerita baru’ yang berlaku dalam politik hari ini.

“Kalau pun cerita ini betul, perjanjian tersebut dibuat 13 tahun lepas. Masa itu tidak ada Tommy Thomas, Lateefah Koya, (Tun Dr) Mahathir (Mohamad) PM-7 dan PH untuk buat pendakwaan terpilih untuk tekan pemimpin-pemimpin Umno di mahkamah.

“Jika kita ikut cara itu selepas PRU-14, maka senanglah Mahathir dan Muhyiddin ingin jatuhkan pemimpin Umno dan menganiaya orang.

“Buat sahaja satu siasatan dan buka kertas pendakwaan, belum tentu salah atau betul, ada kes mahkamah sahaja terus hilang jawatan parti,” katanya menerusi Facebook.

Isham berkata, pendekatan itu didakwa bukan sesuatu yang bijak dan boleh diterima pakai sebaliknya ia membuka ruang kepada politik zalim

“Politik ini dinamik, macam-macam telah berlaku dan mengubah keadaan, sejak dua tahun lepas pun kita sudah tukar dua orang Perdana Menteri. Ini kan pula cerita 13 tahun lepas.

“Berita yang lebih relevan dan terkini dari itu ialah contohnya berkenaan ahli-ahli Parlimen Umno yang naik atas pentas sokong Muhyiddin dua tahun lepas walaupun Perhimpunan Agung Umno telah buat ketetapan tidak akan bekerjasama dengan Bersatu.

“(Selain) berkenaan perjanjian dengan Muhyiddin untuk serah jawatan Timbalan Perdana Menteri kepada Bersatu yang mana perjanjian ini dibuat membelakangi parti. Ini berlaku baru-baru ini bukannya lebih sedekad lalu,” katanya.

Justeru, Isham menggesa semua pihak memberi fokus terhadap isu terkini di depan mata kepada akar umbi.

“Mengalih atau ‘diversion’ isu kepada isu lain tidak akan membuatkan akar umbi lupa akan isu ini.

“Saya cadang supaya kita lebih fokus dan luangkan lebih masa kepada penyelesaian isu rakyat dan masalah ekonomi mereka sekarang, daripada isu-isu politik dalaman parti yang boleh diselesaikan secara tertutup dan bukan disidai di luar rumah,” katanya.

Terdahulu, Mohamed Nazri mendakwa dua pemimpin Umno yang berdepan kes mahkamah telah melanggar perjanjian yang dibuat pada 2009 yang meletakkan syarat mana-mana pemimpin parti yang dihadap ke mahkamah perlu mengundur diri.

Ahli Parlimen Padang Rengas itu berkata demikian ketika berucap dalam satu forum di Yusof Ishak Institute, dengan mendedahkan perjanjian itu turut dipersetujui oleh Datuk Seri Najib Razak yang merupakan Perdana Menteri ketika itu dan timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here