Umat Islam wajib pertahan kesucian agama daripada dinista, dinoda

0
3

PENISTAAN terhadap Islam yang berlaku berpunca daripada kejahilan dan hilangnya rasa malu dalam diri.

Justeru, setiap umat Islam wajib mempertahankan kesucian Islam daripada dinista dan dinoda.

Khutbah Jumaat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) hari ini bertajuk ‘Memelihara Kesucian Islam’, menegaskan bahawa segala perkara berkaitan urusan agama tidak boleh dibahaskan berdasarkan logik akal semata-mata.

Ia memerlukan kepada disiplin ilmu yang benar dan pemahaman yang jelas terhadap nas-nas berkaitan. Bahkan bagi orang-orang awam, perlunya mereka merujuk hal-hal berkaitan agama kepada pihak-pihak yang berautoriti.

Baru-baru ini, tular sebuah video tentang penistaan terhadap Islam.

Ia merupakan sebuah berita yang sangat menyedihkan lantaran pelakunya sendiri ialah seseorang yang mengaku beragama Islam.

Penistaan yang dibuat dalam bentuk komedi kononnya disambut dengan hilai tawa dari kalangan bukan Islam yang jahil tentang Islam itu sendiri.

Selain itu juga, terdapat pula sebahagian umat Islam lain yang mempertikaikan pelaksanaan ibadah korban sedangkan ia sememangnya telah jelas salah satu syiar yang telah disyariatkan kepada kita.

Kecelaruan ini semuanya berlaku tidak lain berpunca dari kejahilan yang telah menebal dalam diri.

Beraninya mereka menista, menghina dan mempertikaikan syiar dan syariat Islam juga kerana telah hilangnya rasa malu dalam diri.

Sepatutnya kita berasa sangat bimbang jika Allah SWT menurunkan azab-Nya lantaran kemungkaran dan kelekaan kita yang mengingkari perintah-Nya.

Setiap perkara yang berlaku menunjukkan bahawa perlunya kita berpegang teguh dengan kepada al-Quran dan al-Sunnah sepertimana yang telah diperintahkan oleh Allah SWT.

Inilah yang disebut oleh Rasulullah SAW bahawa umatnya tidak akan sesat jika berpegang teguh pada keduanya.

Inilah juga yang telah diperingatkan oleh Rasulullah SAW agar ‘menggigit sunnahnya dengan geraham’ yang bermaksud berpegang teguh dengan ajaran Islam yang sebenar.

Rasulullah SAW telah memberi amaran bahawa jika orang-orang jahil berbicara tentang hukum-hakam agama, mereka telah sesat bahkan menyesatkan orang lain pula.

Dalam pada itu, Khatib turut membawakan sebuah lagi kisah yang mencetuskan Perang Bani Qainuqa’.

Kisahnya berlaku ketika seorang Muslimah berniaga di pasar Yahudi Bani Qainuqa’. Lalu puak-puak Yahudi Bani Qainuqa’ cuba menganggu Muslimah itu.

Mereka cuba menarik niqab yang menutup wajah Muslimah itu dan cuba dilawan oleh Muslimah dengan kudrat hawanya. Seorang tukang emas Yahudi yang berniaga di sebelah Muslimah itu pula secara diam-diam mengikat belakang baju Muslimah itu di tempat dia duduk.

Apabila Muslimah itu bangun, terdedahlah auratnya. Para Yahudi ketawa sepuas hati mereka. Muslimah itu menjerit mohon bantuan dan segera disahut seorang lelaki Muslim.

Dia terus menerkam tukang emas Yahudi itu dan membunuhnya. Bertambah panaslah orang-orang Yahudi yang menyaksikan adegan tersebut. Lalu lelaki itu dibunuh beramai-ramai.

Mengambil iktibar dari segala peristiwa yang telah berlaku, setiap umat Islam perlu memantapkan pegangan akidah agar mampu berhadapan dengan kewujudan banyak aliran pemikiran yang merebak dalam masyarakat Islam hari ini.

Para bapa dan ibu bertanggungjawab memberi didikan agama yang sempurna kepada anak-anak mereka selain menunjukkan contoh teladan yang baik berasaskan nilai-nilai Islam yang sebenar.

Setiap umat Islam juga bertanggungjawab mempertahankan kesucian Islam daripada dinista dan dinoda.

Penistaan terhadap ajaran Islam tidak boleh dipandang remeh lebih-lebih lagi jika dibuat oleh umat Islam sendiri.

Kita berdoa agar Allah SWT memelihara kita dan ahli keluarga dijauhkan dari kejahilan dan kesesatan. Panjatkan juga doa agar mereka semua diberi petunjuk hidayah untuk bertaubat dan kembali kepada ajaran Islam yang sebenar. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here