Rizal van Geyzel disiasat mengikut Akta Hasutan

0
2

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan membuat tangkapan terhadap pelawak dan juga pengasas bersama Kelab Komedi Crackhouse, hari ini.

Setiausaha Polis Malaysia Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin, berkata penahanan lelaki berusia 39 tahun itu adalah bagi membantu siasatan mengenai penularan dua klip video di sebuah kelab komedi yang dipercayai menyentuh sensiviti dan berbaur perkauman.

Menurutnya, penahanan dibuat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman di sekitar Lembah Klang.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 kerana mengeluarkan kenyataan yang berkecenderungan menghasut.

“Siasatan juga dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, permohonan reman terhadap suspek akan dibuat esok bagi melengkapkan proses kertas siasatan.

“Polis akan merujuk kepada Pejabat Peguam Negara untuk arahan selanjutnya setelah siasatan dari segala sudut selesai dijalankan.

“Siasatan masih dijalankan dan PDRM menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi dan kenyataan yang boleh menggangu siasatan,” katanya.

Terdahulu media melaporkan pelawak yang juga pengasas bersama Kelab Komedi Crackhouse Rizal van Geyzel ditahan di Balai Polis Dang Wangi hari ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here