Zamani bertambah yakin untuk kembali pulih

0
2

TIGA pakar perubatan di sebuah pusat ortopedik di Kuala Lumpur telah ditemui Zamani bagi mendapatkan nasihat dan pemeriksaan lanjut berhubung penyakit skoliosis yang dihidapi selama ini.

Penyanyi kumpulan Slam berusia 51 tahun itu kini kembali yakin untuk meneruskan rawatan selepas mendengar maklumat lanjut daripada barisan doktor tersebut.

Malah Zamani bertekad tidak berputus asa untuk kembali pulih seperti sediakala.

“Saya telah pergi banyak tempat termasuk yang menawarkan rawatan tradisional. Namun belum jumpa yang betul-betul meyakinkan saya untuk meneruskan rawatan.

“Sebelum ini saya rasa takut dengan diri sendiri sebab tidak mendapat input (maklumat) yang lengkap. Selepas mendengar nasihat dari tiga orang pakar saya mula yakin rawatan ini boleh dilakukan,” katanya.

Penyanyi lagu ‘Gerimis Mengundang’ itu berkata demikian dalam satu temu bual bersama pengacara Che Puan Sarimah Ibrahim yang dimuat naik menerusi laman Instagram miliknya.

Zamani yang mengalami sakit berkaitan tulang belakang sejak tahun 2015 itu telah meluahkan rasa bimbang jika rawatan yang diterimanya kelak boleh memberi kesan sampingan kepada dirinya.

Pada masa sama, Zamani mengakui keluarganya menjadi kekuatan untuk dia mendapatkan rawatan supaya boleh menjalani kehidupan yang lebih baik.

“Sebelum ini ada yang kata jika buat pembedahan keadaan akan bertambah buruk sehingga boleh lumpuh dan terpaksa duduk atas kerusi roda. Apabila mendengar ayat-ayat seperti itu saya jadi takut.

“Selepas mendengar nasihat dari tiga orang pakar saya mula yakin rawatan ini boleh dilakukan.

“Keluarga adalah faktor utama yang membuatkan saya kuat dan mahu terus menerima rawatan. Saya sudah beristeri dan dengan keadaan kesihatan begini agak sukar menjalani kehidupan harian,” katanya. – Malaysiapost

Kunjungi bahagian Hiburan untuk baca cerita yang terkini dan menarik

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here