ANAK bongsu pasangan yang terkorban dalam nahas di Kilometer (KM) 277.1 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), dekat Ipoh, semalam, seperti tidak percaya hilang empat ahli keluarga sekali gus.
‘Sedih, sebab sekali pi (pergi) bukan satu, bukan dua, bukan tiga tetapi empat terus hingga saya hilang kata-kata,” rintih Muhamad Hazman Rahim.
Turut menemui ajal dua kakaknya, Nor Hadirah Rahim, 28, dan Nor Hamizah Rahim, 27, selepas Proton Persona dinaiki mereka dirempuh lori treler.
Memetik Berita harian, Muhamad Hazman, 20, yang menjalani latihan industri di sebuah syarikat di Perlis dihubungi seorang lagi kakaknya, Nor Fatini, 22, memaklumkan tragedi menimpa ahli keluarga mereka.
“Kakak (Nor Fatini) sambil menangis beritahu mak dan ayah serta dua lagi kakak kami sudah tidak ada.
“Baru semalam saya salam, cium tangan mak, ayah sebelum balik ke Perlis dan maklumkan saya akan balik berjumpa mereka lagi… kedua-duanya senyum sahaja, tetapi hari ini mereka dah tiada sampai saya tak tahu nak cakap macam mana,” katanya ditemui upacara pengebumian empat ahli keluarganya di Bukit Mertajam awal pagi ini.
Keempat-keempat jenazah dikebumikan kira-kira jam 3 pagi tadi dalam hujan renyai.
Dalam pada itu, Muhamad Hazman berkata, ketika kejadian ibu bapanya dalam perjalanan menghantar kakak sulungnya, Nor Hadirah ke Kuala Lumpur untuk melapor diri di tempat kerja selepas sekian lama bercuti.
“Memang jadi kebiasaan ayah hantar kakak ke sana. Sebelum ini kakak pernah kerja di sana sebelum syarikatnya ditutup dan dia pulang bercuti.
“Apabila syarikatnya dibuka semula, ayah dan mak ditemani seorang lagi kakak (Nor Hamizah) mahu menghantar semula kakak, tetapi siapa sangka berlaku kejadian seperti ini.
“Semasa cuti baru-baru ini, saya sempat bawa dua kakak saya pergi jalan-jalan, ziarah sanak saudara dan beraya,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang semalam, empat sekeluarga itu maut akibat tersepit dalam nahas tujuh kenderaan termasuk sebuah treler.
Ketika kejadian kesemua mereka dikatakan dalam perjalanan dari Sungai Petani menuju ke Kuala Lumpur. – Malaysiapost

