Nahas 4 beranak maut: Pemandu treler ditahan

0
3

POLIS telah menahan pemandu lori treler yang terbabit dalam nahas tujuh kenderaan di Kilometer (Km) 277.1 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan petang semalam yang mengakibatkan empat beranak maut.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, berkata pemandu tersebut akan direman hari ini bagi membantu siasatan.

“Ujian air kencing yang dijalankan mendapati pemandu itu tidak memandu di bawah pengaruh dadah.

“Bagaimanapun semakan mendapati pemandu treler ini mempunyai 13 saman trafik dari 2008 hingga 2021, di mana tiga daripadanya terbabit dalam kemalangan jalan raya pada 2012, 2020 dan 2021,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta orang awam yang menyaksikan kemalangan itu agar berhubung dengan pegawai penyiasat kes, Inspektor Mohd Tarmini Che Hassan, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh di talian 013-5949441 untuk membantu dalam siasatan.

Terdahulu pemandu dan tiga penumpang sebuah kereta yang terbabit dalam kemalangan tersebut meninggal dunia di tempat kejadian.

Pemandu adalah lelaki berusia 60 tahun, manakala penumpang hadapan adalah isterinya berusia 59 tahun serta dua anak perempuan, masing-masing berusia 27 dan 28 tahun.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan.

Mior Faridalathrash berkata, siasatan mendapati, sebuah lori treler bermuatan kosong dipandu lelaki berusia 34 tahun dari Taiping menghala ke Bukit Beruntung merempuh kereta dinaiki empat sekeluarga dari belakang.

Akibat rempuhan itu katanya, kedua-dua lori treler dan kereta itu mengelongsor ke hadapan lalu melanggar lima kenderaan lain,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here